Erwam (tengah) bersama anggota AADK Beaufort dan Negeri memberi arahan kepada semua penagih yang ditahan dalam Ops Cegah di Beaufort. FOTO Juwan Riduan
Erwam (tengah) bersama anggota AADK Beaufort dan Negeri memberi arahan kepada semua penagih yang ditahan dalam Ops Cegah di Beaufort. FOTO Juwan Riduan
Juwan Riduan


SEORANG penagih dadah dalam keadaan khayal tidak sedar rumahnya di sebuah kampung di Kuala Penyu dekat Beaufort, diserbu Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) ketika sedang asyik menonton video lucah di telefon pintar.

Duda berusia 47 tahun itu antara 20 individu ditahan AADK dalam Ops Cegah, jam 12.30 tengah malam dan berakhir kira-kira 5 pagi tadi.

Ketua Pegawai AADK Beaufort, Effanehwati Lakat berkata, lelaki itu dipercayai baru saja menghisap syabu di rumahnya dan tidak menyedari kehadiran anggota AADK.

"Pemeriksaan mendapati suspek sedang melayan video lucah di telefon pintar.

"Turut ditahan 19 individu kerana disyaki penagih dadah di tiga kampung di daerah Kuala Penyu iaitu Kampung Kilugus, Berangkok dan Mansud," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, hasil ujian saringan awal air kencing mendapati semua suspek positif dadah syabu.

"Semua suspek berusia 20 hingga 53 tahun disiasat mengikut Seksyen 3 (1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983.

"Orang awam yang mempunyai maklumat berhubung penyalahgunaan dadah boleh menghubungi AADK Beaufort di talian 087-222667 atau tampil ke mana-mana pejabat AADK berhampiran.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 January 2020 @ 2:25 PM