ANTARA individu ditahan AADK. FOTO Ihsan AADK.
ANTARA individu ditahan AADK. FOTO Ihsan AADK.
Junaidi Ladjana


SEORANG lelaki yang juga orang kena pengawasan (OKP) berusia 54 tahun antara 10 individu ditahan dalam Op Cegah di tiga kampung di Beaufort, awal pagi tadi.

Lelaki itu ditahan ketika sedang nyenyak tidur di rumahnya di Kampung Mempagar.

Ketua Operasi AADK Sabah, Erwan Roslan berkata, operasi bermula 1.30 pagi dan berakhir dua jam kemudian di lokasi ditetapkan seperti Kampung Kelabu, Mempagar dan Limbawang.

“Seramai 10 lelaki ditahan termasuk OKP berusia 54 tahun dan dua beradik.

“Ujian air kencing mendapati semua mereka positif dadah jenis syabu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, individu berusia 20 hingga 54 tahun kemudian di bawa ke pejabat AADK Beaufort untuk tindakan lanjut.

“Semua suspek ditahan mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983.

“Orang awam yang mempunyai maklumat berhubung penyalahgunaan dadah boleh menyalurkan maklumat dengan menghubungi AADK Beaufort di talian 087-222667 atau tampil ke mana-mana pejabat AADK berhampiran,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 April 2019 @ 1:44 PM