ANGGOTA AADK menyoal siasat lelaki disyaki terbabit dengan dadah dalam Ops Khas di Beaufort, awal pagi hari ini. FOTO ihsan AADK.
ANGGOTA AADK menyoal siasat lelaki disyaki terbabit dengan dadah dalam Ops Khas di Beaufort, awal pagi hari ini. FOTO ihsan AADK.
Junaidi Ladjana


DUA beradik antara 11 lelaki ditahan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Beaufort selepas positif dadah jenis syabu dalam Ops Cegah di sekitar Beaufort, awal pagi hari ini.

Dua beradik berusia 34 dan 38 tahun ditahan di rumah mereka di Kampung Kebajang.

Ketua Pegawai AADK Daerah Beaufort, Effanehwati Lakat, berkata serbuan dilakukan mulai 2 hingga 5 pagi berdasarkan aduan awam dan risikan dijalankan selama seminggu oleh AADK di Kampung Pintas, Kabidang dan Kebajang.

“Hasil serbuan itu, kami menahan 12 lelaki disyaki penagih dadah dan hasil ujian saringan awal air kencing, 11 orang termasuk dua beradik itu didapati positif dadah jenis Methamphetamine atau syabu.

“Semua mereka yang berusia 22 hingga 50 tahun ditahan mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan),” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Effanehwati berkata, mereka yang positif dadah dibawa ke Mahkamah Majistret Beaufort untuk permohonan reman sementara menunggu keputusan pengesahan ujian air kencing dari Jabatan Patologi.

Beliau berkata, AADK Beaufort akan terus melakukan pemantauan dari semasa ke semasa bagi membanteras kegiatan penagihan dadah.

“Orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan penyalahgunaan dadah boleh menghubungi AADK Beaufort di talian 087-222667 atau tampil di mana-mana pejabat AADK berhampiran,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Julai 2018 @ 10:38 PM