Kemalangan mengakibatkan bayi perempuan maut, manakala tiga ahli keluarganya parah di Kilometer 54 JRTB Gerik - Jeli malam tadi. FOTO ihsan pembaca
Kemalangan mengakibatkan bayi perempuan maut, manakala tiga ahli keluarganya parah di Kilometer 54 JRTB Gerik - Jeli malam tadi. FOTO ihsan pembaca
Muhammad Apendy Issahak


BAYI perempuan maut manakala tiga ahli keluarganya parah selepas kenderaan pelbagai guna dinaiki bertembung sebuah kereta di Kilometer 54 Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli, malam tadi.

Dalam kejadian 10.08 malam itu, kemalangan membabitkan Perodua Myvi dan Alza dengan keseluruhan enam mangsa terbabit nahas berkenaan.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Perak, Superintendan Zakaria Abd Rahman berkata, Myvi dipandu seorang wanita berusia 32 tahun yang juga pegawai kanan polis berkhidmat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda, Kedah.

Menurutnya, pegawai polis berkenaan memandu bersendirian dari arah Jeli ke Gerik, manakala Alza dinaiki lima sekeluarga dari arah bertentangan.

“Hasil siasatan awal mendapati ketika sampai di tempat kejadian pemandu Myvi dipercayai hilang kawalan dan terbabas memasuki ke laluan bertentangan sebelum merempuh Alza dari arah bertentangan.

“Alza berkenaan dipandu Omar Shaferee Mamat, 44, manakala penumpang ialah isterinya Sarkhiyah Manshor, 37, serta tiga anak mereka iaitu Syifaa Thahirah, 12 bulan, Syaza Thoyyibah, 11, dan Ammar Syazwan, 9, dari Taman Sri Sekati Manir, Kuala Terengganu, Terengganu,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Zakaria berkata, akibat kemalangan itu bayi perempuan yang baru berusia setahun meninggal dunia di lokasi kejadian manakala ibu, kakak dan abangnya parah.

“Pemandu Alza terselamat manakala pegawai polis berkenaan pula hanya cedera ringan.

“Tiga beranak yang parah itu dirujuk ke Hospital Taiping untuk rawatan lanjut, manakala mangsa yang maut dihantar ke Hospital Gerik untuk dibedah siasat,” katanya.

Menurutnya, ketika kejadian, keadaan jalan basah akibat hujan serta selekoh menurun bukit.

Katanya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Jun 2019 @ 2:28 PM