Wee semasa mengumumkan senarai nama Jawatankuasa Pusat MCA 2018- 2021 baru-baru ini. FOTO Mohd Yusni Ariffin
Wee semasa mengumumkan senarai nama Jawatankuasa Pusat MCA 2018- 2021 baru-baru ini. FOTO Mohd Yusni Ariffin
Nor Akmar Samudin

PERHIMPUNAN Agung MCA yang akan diadakan hujung minggu ini menyaksikan beberapa perubahan yang ketara.

Buat kali pertama, Pengerusi Barisan Nasional (BN) tidak akan berucap pada perhimpunan itu.

Malah, tiada jemputan kepada rakan sekutu mereka dalam BN, menurut kenyataan yang disiarkan oleh portal dwi bahasa hari ini.

Sebaliknya, Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai yang akan melepaskan jawatannya secara rasmi dijangka menyampaikan ucapan pembukaan.

Selain itu satu lagi perubahan ketara ialah sesi perbahasan bagi sayap Wanita dan Pemuda akan diadakan secara tertutup.

Memetik kenyataan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong yang disiarkan dalam portal itu, ini bagi membolehkan perwakilan parti itu bebas menyuarakan pandangan, tanpa sekatan dan berkongsi perasaan mereka.

“Jadi kami membuat keputusan untuk mengadakan perbahasan secara tertutup,” katanya.

Perwakilan MCA dijangka berbahas mengenai hala tuju parti itu, termasuk keputusan untuk kekal bersama BN atau meninggalkan gabungan itu.

Selain UMNO dan MIC, MCA adalah pengasas BN ketika menubuhkan Perikatan.

Parti itu kini berada di titik paling rendah dalam sejarah penubuhannya, dengan hanya mempunyai satu kerusi di parlimen dan dua kerusi dewan undangan negeri.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 November 2018 @ 11:08 PM