KEADAAN tumpahan minyak yang tersekat.
KEADAAN tumpahan minyak yang tersekat.
Mohd Khidir Zakaria

Port Dickson: Tindakan pantas penduduk menghubungi bomba berjaya menghalang tumpahan minyak akibat kebocoran tangki di sebuah kilang. dari terus merebak dan mencemari Sungai Pak Mail, di sini, semalam.

Pengarah Bomba dan Penyelamat negeri, Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 7.23 pagi daripada penduduk di Taman Desaru, Lukut yang mengesan berlaku tumpahan minyak
di sungai berkenaan.

Katanya, hasil siasatan anggotanya mendapati berlaku tumpahan minyak di sungai berkenaan akibat kebocoran tangki dari sebuah kilang yang terletak di tebing sungai.

“Kami menghubungi Jabatan Alam Sekitar (JAS) untuk tindakan lanjut dan melakukan proses menghalang tumpahan daripada merebak menggunakan absorbent pillow bagi menyerap dan menyekat minyak di permukaan air,” katanya.

ANGGOTA bomba melakukan pembersihan tumpahan minyak yang tersekat di absorbent pillow yang dipasang di Sungai Pak Mail, Lukut.
ANGGOTA bomba melakukan pembersihan tumpahan minyak yang tersekat di absorbent pillow yang dipasang di Sungai Pak Mail, Lukut.

Katanya, keadaan tumpahan minyak adalah terkawal dan penduduk tidak perlu bimbang kerana siasatan juga dilakukan JAS bagi menyelesaikan masalah itu.

Sementara itu Pengarah JAS negeri, Norhazni Mat Sari berkata, pihaknya sudah menghantar pasukan bagi bersama bomba ke kilang terbabit bagi membuat siasatan lanjut punca tumpahan.

“Kami sedang menyiasat bagaimana tumpahan minyak itu boleh berlaku dari premis yang terletak tidak jauh dari sungai itu.

“Pihak JAS akan membuat kerja membersihkan tumpahan minyak di sungai itu bagi mengelakkan pencemaran merebak,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 November 2018 @ 11:28 AM