LORI yang terbabas. FOTO Facebook LUAS
LORI yang terbabas. FOTO Facebook LUAS
Amirul Aiman Hamsuddin


Kuala Selangor: Lori simen terbabas lalu memasuki alur air yang mengalir ke Sungai Selangor di Jalan Kolam KL-Larut, Bestari Jaya, 10 pagi hari ini, menyebabkan berlaku tumpahan minyak dari kenderaan terbabit.

Bagaimana pun, Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) berkata, pihaknya bertindak pantas bagi menghalang tumpahan minyak mengalir ke Sungai Selangor dengan meletakkan lapan 'oil boom' dan 10 'absorbent pad' di aliran air di lokasi kemalangan hingga minyak berjaya diperangkap.

"Tindakan itu bagi menghalang tumpahan (minyak) dari lori mengalir ke Sungai Selangor.

"Manakala kerja pembersihan dan pengalihan dilakukan syarikat lori simen terbabit," katanya menerusi pengumuman di Facebook, hari ini.

Menurut LUAS, pihaknya turut melakukan persampelan di lokasi kemalangan.

Katanya, Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor dan Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) turut membantu menjalankan pemantauan dan siasatan bagi menangani insiden berkenaan agar tiada berlaku pencemaran sungai.

"LUAS akan meneruskan pemantauan dari semasa ke semasa sehingga kerja-kerja pembersihan dan kerja menyedut minyak selesai di alur air itu.

"Sehingga 3.40 tadi, kerja-kerja pengalihan lori telah selesai dan kerja-kerja (pembersihan dan menyedut minyak) masih diteruskan.

Katanya, tindakan itu berjaya mengelak henti tugas Loji Rawatan Air (LRA) dan gangguan bekalan air kepada pengguna.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Oktober 2020 @ 6:03 PM