ZULKIFLI Mohamad Al-bakri. FOTO arkib NSTP
ZULKIFLI Mohamad Al-bakri. FOTO arkib NSTP
Hidayatul Akmal


DRAMA bersiri Isteri Untuk Disewa yang mula ditayangkan pada Isnin lalu, mendapat teguran Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri ekoran tajuk dan jalan ceritanya yang kurang sesuai.

Dalam laman sosial Facebook miliknya, Dr Zulkifli menulis, mungkin ada yang tertanya-tanya mengapa beliau memilih tajuk Isteri Untuk Disewa dan bukan drama lain.

Menurut beliau, sebab utama memilih drama itu kerana persoalan daripada mustafti berhubung tajuk drama ini dan isu fiqh perkahwinan yang wujud dalam drama ini.

"Tajuk drama ini Isteri Untuk Disewa. Jika difahami secara zahir ialah suatu perkara yang amat bertentangan dengan zahir nas Al-Quran dan Sunnah. Begitu juga dengan moraliti kehidupan manusia sama ada Islam mahupun bukan Islam.

"Tanpa menafikan kebebasan berkarya dalam budaya penggiat seni, kami merasakan bahawa tajuk berkenaan adalah kurang sesuai. Alasan kami jelas, isteri bukan untuk disewa. Isteri adalah akad yang sahih dan diperintahkan untuk bergaul dengan baik sebagaimana yang tertera dalam Surah al-Nisa’ ayat 19.

"Firman Allah SWT وَعَاشِرُوهُنَّ بِالْمَعْرُوفِ Maksudnya: "Dan bergaullah kamu dengan mereka (isteri-isteri kamu itu) dengan cara yang baik."

Ibnu Kathir ketika mengulas ayat ini menegaskan untuk memperperhaluskan kata-kata dan memperindahkan perilaku dan sikap, sebagaimana yang kita kehendaki daripada seorang isteri.

"Tajuk yang provokatif dikhuatiri akan menjadi trend dalam penggiat seni sekiranya tidak diberikan penerangan jelas daripada hukum syarak, mengenai implikasinya dalam masyarakat," katanya.

Mengulas lanjut, Dr Zulkifli menegaskan, implikasi tajuk turut menjadi perhatian pihaknya untuk 'menegur' drama berkenaan.

"Dalam Islam, tiada istilah isteri kontrak sama ada dalam tempoh jam, hari, minggu atau bulan. Meminjam isteri bukanlah amalan dalam Islam, begitu juga menyewa isteri.

"Isteri adalah amanah Allah kepada suami untuk dimuliakan, dikasihi, disayangi dan diberi hak-haknya seperti termaktub dalam nas al-Quran, hadis dan pandangan fuqaha.

"Kami yakin, tidak ada sekelumit niat dalam hati penulis novel dan pengarah itu membuat sesuatu yang diluar landasan Islam namun, sewaan isteri jelas adalah sejuzuk daripada cabang mut’ah yang tidak dibenarkan dalam kalangan fuqaha’ Ahli Sunnah wal Jama’ah dan diharamkan dalam Islam," katanya.

"Antara contoh bentuk nikah mut'ah adalah perkahwinan yang dihadkan tempohnya. Contohnya, pengantin lelaki berkata dalam majlis akad nikah: ‘Saya hanya mahu berkahwin dengan kamu selama seminggu.’

“Lalu pengantin perempuan menjawab: ‘Saya terima,’" katanya.

Dr Zulkifli berkata, pihaknya menganggap pengarah mungkin terkhilaf dalam menentukan tajuk dan jalan cerita drama itu yang khabarnya diadaptasi daripada novel.

"Sekali lagi ditegaskan bahawa kami sama sekali tidak berhasrat untuk menyekat kebebasan dan kreativiti dalam berkarya. Namun, seeloknya biarlah ianya selari dengan agama dan budaya ketimuran kita," katanya.

Berita berkaitan:

  • ‘Teguran Mufti sangat berhemah’
  • Surat mufti bagi pengarah Isteri Untuk Disewa
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 November 2018 @ 6:55 PM