PEMANDANGAN dari udara menunjukkan keadaan paras air Sungai Golok sudah pada paras berjaga-jaga berikutan cuaca tidak menentu di Kelantan, ketika ini. FOTO Fathil Asri.
PEMANDANGAN dari udara menunjukkan keadaan paras air Sungai Golok sudah pada paras berjaga-jaga berikutan cuaca tidak menentu di Kelantan, ketika ini. FOTO Fathil Asri.
Mohd Zulkifli Zainuddin


PARAS air Sungai Golok di Rantau Panjang masih berada di paras berjaga-jaga, berikutan cuaca tidak menentu di Kelantan, ketika ini.

Berdasarkan portal publicinfobanjir.water.gov.my sehingga 4 petang hari ini, paras air Sungai Golok di Rantau Panjang meningkat kepada bacaan 7.68 meter (m) melebihi paras berjaga-jaga 7m berbanding 7.63m semalam.

Bagaimanapun, paras air Sungai Lebir di Tualang, Kuala Krai yang dalam keadaan berjaga-jaga semalam, kini kembali ke paras normal berikutan keadaan cuaca semakin baik, hari ini.

Bacaan paras air di sungai itu kini 26.21m berbanding catatan 29.2m petang semalam dengan paras berjaga-jaga 27m. Setakat ini, masih tiada mangsa dilaporkan berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS).

Sebanyak 607 PPS yang mampu menempatkan 198,000 mangsa banjir akan dibuka seluruh Kelantan terutama Kota Bharu, Kuala Krai dan Pasir Mas sebagai persediaan jika bencana itu berlaku.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), hari ini mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang di kawasan perairan di Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Kelantan, Terengganu dan Sarawak.

Angin kencang Timur Laut dengan kelajuan 40 hingga 50 kilometer sejam (kmsj) dijangka berlaku di kawasan perairan Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor Timur, Sarawak dan Barat Sabah.

Kawasan pantai di Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor Timur dan Sarawak juga terdedah kepada kejadian kenaikan paras air laut.

Sementara itu, Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, menasihatkan semua penduduk bersiap siaga dan berhati-hati dalam keadaan cuaca tidak menentu ketika ini dan perlu mengikut arahan dikeluarkan pihak berwajib untuk keselamatan kesemua pihak.

“Kerajaan negeri menyediakan peruntukan melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk persediaan banjir, malah Kerajaan Pusat turut menyalurkan peruntukan, cuma jumlah tidak tetap berdasarkan keperluan menerusi agensi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 November 2018 @ 5:38 PM