Oleh Asmah Rusman


Puchong: Ahli perniagaan kerugian kira-kira RM500,000 selepas rumah teres dua tingkat, dua kereta dan motosikal milik anaknya hangus dijilat api di Jalan Mawar 1E, Taman Puchong Perdana, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian 7 malam itu, mangsa yang mahu dikenali sebagai Lee, 63, sedang menonton televisyen bersama isteri dan cucunya berusia 10 tahun.

"Kami kemudian terdengar jiran menjerit memberitahu ada api. Apabila kami keluar untuk melihat keadaan ketika itu semua kenderaan yang berada di dalam garaj sudah hangus.

"Kami segera menyelamatkan diri dan menghubungi pasukan penyelamat namun tidak mampu berbuat apa kerana api marak dengan pantas meskipun ketika itu hujan renyai," katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Puchong, Mohd Hisam Mat Asih, berkata 18 anggota BBP Puchong, Cyberjaya dan Subang Jaya dikerahkan ke lokasi kejadian.

Katanya, pihaknya mengambil setengah jam bagi memadam dan mengawal api sepenuhnya daripada merebak ke kawasan rumah bersebelahan.

"Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan punca kebakaran masih dalam siasatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 November 2014 @ 11:36 PM