PELANGGAN, Ramlah Ibrahim, 48, bersama keluarganya mengikuti siaran langsung pembentangan Belanjawan 2019 oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, di Pasar Besar Siti Khatijah. FOTO Fathil Asri
PELANGGAN, Ramlah Ibrahim, 48, bersama keluarganya mengikuti siaran langsung pembentangan Belanjawan 2019 oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, di Pasar Besar Siti Khatijah. FOTO Fathil Asri
Luqman Arif Abdul Karim

PENGECUALIAN cukai kepada perkhidmatan khusus yang ditawarkan dalam kalangan perniagaan berdaftar akan diberikan bermula 1 Januari tahun depan.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, berkata, langkah itu bagi menambah baik kecekapan dan keberkesanan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang dilaksanakan semula berkuat kuasa 1 September lalu.

Katanya, kaedah itu antara lain akan menangani peningkatan kos akibat percukaian berganda dan mengekalkan daya saing industri perkhidmatan tempatan.

"Kerajaan akan perkenalkan sistem kredit untuk potongan cukai jualan mulai 1 Januari tahun depan untuk mengurangkan beban pengilang kecil berdaftar yang membeli input pembuatan dari pengimport, bukan pengilang berdaftar.

"Sistem kredit juga akan mengelak percukaian berganda dan menurunkan kos perniagaan," katanya ketika membentangkan Belanjawan 2019 bertemakan ‘Malaysia Wibawa, Ekonomi Dinamik, Rakyat Sejahtera’ di Dewan Rakyat, hari ini.

Guan Eng berkata, Jawatankuasa Pembaharuan Cukai turut ditubuhkan paa September lalu untuk mengenal pasti dan mencadangkan langkah penambahbaikan sistem percukaian yang lebih progresif dan berkesan.

Beliau berkata, ia merangkumi pelaksanaan cukai terhadap perkhidmatan import bagi memastikan penyedia tempatan seperti di sektor arkitek, reka bentuk grafik, teknologi maklumat dan kejuruteraan mendapat persaingan yang adil mulai 1 Januari tahun depan.

Selain itu, katanya, penyedia perkhidmatan asing akan dikehendaki berdaftar dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia, selain mengenakan dan meremit cukai perkhdimatan berkaitan berkuat kuasa 1 Januari 2020.

"Contoh perkhidmatan ini termasuk perisian, muzik, video atau sebarang pengiklanan digital, sekali gus mengimbangi persaingan antara peruncit kedai dan perniagaan atas talian, khususnya yang dimiliki syarikat luar negara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 November 2018 @ 11:08 PM