FOTO hiasan
FOTO hiasan
Shahrinnahar Latib


SINDIKET Macau Scam dikesan menggunakan modus operandi baharu apabila kini menyamar sebagai kakitangan Telekom Malaysia Berhad (TM).

Sebelum ini, sindiket itu sering menyamar sebagai pegawai polis, pegawai bank dan wakil mahkamah untuk memerangkap mangsa.

Namun, dalam kejadian Ahad lalu, seorang pembantu perawatan kesihatan berusia 40 tahun berasal dari Kuantan kerugian RM5,050 selepas diperdaya lelaki mengaku kakitangan TM.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Pahang Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, kejadian bermula apabila mangsa wanita itu menerima panggilan daripada Jasmin Osman yang mendakwa pekerja TM dan mahu menyiasat kes salah guna perkhidmatan.

“Suspek mendakwa mangsa menggunakan satu nombor telefon yang didaftarkan pada 23 Julai lalu atas namanya untuk menjalankan kegiatan judi haram dalam Internet.

“Bagaimanapun, mangsa menafikan perkara itu sebelum panggilan terbabit disambung kepada seorang lagi suspek yang memperkenalkan diri sebagai Koperal Nizam Ibrahim untuk membuat laporan polis,” katanya, hari ini.

Mohd Wazir berkata, mangsa seterusnya bercakap dengan Inspektor Firdaus yang kemudian mendakwa dia juga terbabit sindiket penipuan sebelum menerima mesej WhatApps mengandungi gambar perintah Mahkamah Persekutuan untuk menangkap dan membekukan semua asetnya.

Katanya, mangsa diarah mengeluarkan semua wang simpanan di bank dan memindahkannya ke akaun diberikan untuk siasatan.

“Mangsa membuat dua transaksi pindahan berjumlah RM5,050 dan resit pindahan kemudian dihantar menerusi WhatsApps sebagai tanda kes selesai,” katanya yang memberitahu mangsa dilarang berkongsi kejadian itu dengan orang lain.

Menurutnya, mangsa curiga dan kemudian menceritakan perkara itu kepada suaminya sebelum mereka ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan, semalam untuk membuat laporan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Oktober 2018 @ 12:29 PM