FOTO hiasan
FOTO hiasan
Nurul Fhatihah Zakinan


JABATAN Pendidikan Negeri (JPN) Melaka mengesahkan lebih 100 pelajar Sekolah Menengah Teknik Bukit Piatu bersekolah seperti biasa selepas mendapatkan rawatan dipercayai akibat keracunan makanan, Rabu lalu.

Pengarahnya Abu Bakar Sahari berkata, pihak sekolah juga sudah mengambil tindakan mengikut prosedur operasi standard (SOP) susulan kejadian yang membabitkan seramai 106 pelajar sekolah itu.

“Pegawai kesihatan daerah hadir untuk pemeriksaan, bagaimanapun bagi bekalan makanan pihak kontraktor lain yang dilantik mengambil alih tugas.

“Kontraktor baharu yang membekalkan makanan dan minuman itu, bagaimanapun tidak memasak di dapur sekolah,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sementara itu, EXCO Kesihatan negeri Low Chee Leong berkata, pelajar tingkatan empat dan lima sekolah terbabit dilaporkan mengadu sakit perut, loya dan muntah disyaki selepas makan sambal udang pada waktu tengah hari.

Katanya, pelajar mengatakan lauk itu tidak segar dan penyediaan cili dimasak pada jam 10 malam sebelum hari kejadian yang ditinggalkan tanpa dimasukkan ke dalam peti sejuk.

“Pada jam 10 pagi esoknya (Rabu), cili itu dimasak sambal udang. Pada ketika itu, semua pelajar hanya makan di dewan makan asrama,” katanya.

Katanya, susulan kejadian dapur asrama sekolah itu diarah ditutup selama 14 hari sehingga 9 November depan mengikut Akta Kawalan Penyakit Berjangkit (CDC).

“Sampel makanan sebenar tidak dapat diambil kerana dibuang pengusaha asrama dan keputusan masih belum diperoleh,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Oktober 2018 @ 12:27 PM