HAMDAN bersama  sebahagian kayu hanyut untuk dijadikan pelbagai jenis perabot mengikut tempahan pelanggan.
HAMDAN bersama sebahagian kayu hanyut untuk dijadikan pelbagai jenis perabot mengikut tempahan pelanggan.
Hazira Ahmad Zaidi

Kota Bharu: Seorang pemuda menjadikan kayu hanyut di kawasan pantai dan sungai, diukir dan dijual sebagai perabot hiasan kediaman.

Pemilik KB Organik Garden Hamdan Ahmed Hassan berkata, kayu hanyut mempunyai ‘harga diri’ yang tersendiri, malah boleh mencecah ribuan ringgit jika dikomersialkan.

Katanya, sepanjang pembabitannya dalam industri pertukangan dan perkayuan selama 15 tahun, hiasan kediaman yang pernah terjual kepada pelanggan mencecah sehingga RM20,000.

“Antara kayu hanyut yang terpilih untuk dijadikan perabot hiasan kediaman seperti kayu cengal, mahogani, jati Malaysia, merbau dan tembusu kerana tahan lama serta lebih lasak.

“Kebanyakan kayu ini diambil di tepi jalan utama di sekitar bandar Kota Bharu selepas ia ditebang atau hanyut di sungai atau pantai.

“Saya pernah menjumpai lakaran imej unik yang terbentuk secara semula jadi pada kayu seperti ikan, kucing dan katak,” katanya ketika ditemui di kedainya di Jalan Pasir Hor, di sini, semalam.

HAMDAN (kiri) bersama pekerjanya melakukan proses membersih kayu hanyut untuk dijadikan meja.
HAMDAN (kiri) bersama pekerjanya melakukan proses membersih kayu hanyut untuk dijadikan meja.

Anak sulung daripada empat beradik itu berkata, tujuan asal dia dan ayahnya, Ahmed Hassan, 65, mencari sisa kayu hanyut di kawasan pantai dan sungai adalah untuk dijadikan perhiasan landskap kediaman, selain hobi.

“Bagaimanapun, beberapa rakan dan saudara-mara terdekat yang datang ke rumah berminat dengan keunikan kayu ini dan memberi idea untuk kami mengkomersialkannya.

“Sesetengah individu yang menjumpai kayu ini mungkin menganggapnya sesuatu yang tidak berguna, tetapi sebenarnya ia memberi pulangan sangat lumayan kerana mendapat permintaan tinggi,” katanya.

Hamdan yang turut menghasilkan perabot seperti bangku dan meja berkata, proses untuk menyiapkan tempahan bergantung kepada tempoh pengeringan kayu sehingga ada yang mengambil masa selama tiga tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Oktober 2018 @ 11:49 AM