DR Abdul Aziz (tengah) menyaksikan Siti Hajar (kiri) menyerahkan sijil MBR kepada Aznan selepas kejayaan 76 pelajar pendidikan khas menghasilkan kek sepanjang 50.2 meter. FOTO Muhaizan Yahya.
DR Abdul Aziz (tengah) menyaksikan Siti Hajar (kiri) menyerahkan sijil MBR kepada Aznan selepas kejayaan 76 pelajar pendidikan khas menghasilkan kek sepanjang 50.2 meter. FOTO Muhaizan Yahya.
Balqis Jazimah Zahari


UNIT Pendidikan Khas, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak berjaya mencatatkan nama dalam Malaysia Book of Records (MBR) bagi penghasilan kek terpanjang yang dihasilkan pelajar pendidikan khas.

Kek sepanjang 50.2 meter itu dihasilkan 76 peserta terdiri daripada pelajar pendidikan khas di Perak.

Pengesahan rekod diumumkan Pegawai Eksekutif Pentadbiran Am MBR, Siti Hajar Johor pada Majlis Penutup Karnival Kemahiran Pendidikan Khas Kebangsaan 2018 di Ipoh, malam tadi.

Ketua Sektor Pendidikan Swasta dan Pendidikan Khas JPN Perak, Aznan Alias, berkata ia adalah rekod MBR kelapan oleh JPN Perak di bawah Unit Pendidikan Khas.

“Sebelum ini, JPN di bawah unit berkenaan memang sentiasa cuba menghasilkan pelbagai rekod MBR sejak 2011 sempena penganjuran karnival pendidikan khas yang diadakan di peringkat negeri.

“Namun kali ini, rekod dibuat sempena penganjuran karnival bagi peringkat kebangsaan kerana kami menjadi tuan rumah pada kali ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas perasmian majlis penutup karnival berkenaan yang disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Teknologi, Sains dan Alam Sekitar negeri, Dr Abdul Aziz Bari, malam tadi.

Hadir sama, Timbalan Pengarah Cawangan Perancangan dan Penilaian yang menjalankan Tugas Pengarah Bahagian Pendidikan Khas Kementerian Pendidikan Malaysia, Datuk Dr Yasmin Hussain.

Sementara itu, antara rekod MBR berjaya dicatatkan Unit Pendidikan Khas sebelum ini adalah penghasilan Kolaj Khat Jawi 1Malaysia terpanjang oleh Murid-Murid Pendidikan Khas (2012), Penyertaan Paling Ramai Murid-Murid Pendidikan Khas Dalam Satu Persembahan Muzikal (2013) dan Pameran Hasil Anyaman Bakul Terbanyak Oleh Murid-Murid Pendidikan Khas (2014).

Selain itu, Penghasilan Kolaj Perak Excellent 1Malaysia Terpanjang oleh Murid-Murid Pendidikan Khas (2015), Aktiviti Berkayak Teluk Nipah-Pulau Giam-Teluk Nipah oleh Murid-Murid Pendidikan Khas (2016) dan Projek Menanam Anak Pokok Bakau Minyak oleh Pelajar Pendidikan Khas (2017).

Sementara itu, penganjuran karnival bertemakan Kemahiran Lestari Seni Budaya dan berkonsepkan Raja dan Rakyat Berpisah Tiada selama dua hari itu menonjolkan bakat serta potensi Murid Berkeperluan Khas (MBK) dalam aspek kemahiran.

Pelbagai pertandingan dianjurkan terdiri daripada kategori pelajar masalah pembelajaran, pendengaran dan pertuturan.

Antara acara dipertandingkan adalah menghasilkan kemahiran solekan dan kostum puteri diraja, dekorasi kek perkahwinan, dekorasi pulut kuning, seni tekat benang emas, tengkolok Yang Dipertuan Agong dan kemahiran elektrik air pancut.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Oktober 2018 @ 1:15 AM