GAMBAR kenangan murid-murid SJK(T) Kem Askar Melayu Diraja ketika program Greening Malaysia: Love Our Forest II’.
GAMBAR kenangan murid-murid SJK(T) Kem Askar Melayu Diraja ketika program Greening Malaysia: Love Our Forest II’.
Suliati Asri


BAGI memberi pendedahan, kecintaan dan kepentingan penjagaan alam sekitar serta biodiversiti, Fakulti Perhutanan dan Alam Sekitar (FHAS), Universiti Putra Malaysia (UPM) menganjurkan Program 'Greening Malaysia: Love Our Forest II,' baru-baru ini.

Disertai 44 murid Sekolah Jenis Kebangsaan (T) Kem Askar Melayu Diraja, Port Dickson, Negeri Sembilan, program itu dianjurkan bagi memupuk minat murid-murid untuk mencintai alam sekitar.

Pengarah program, Profesor Madya Dr Siti Suriawati Isa berkata, program itui turut memberi pendedahan awal kepada mereka terhadap haiwan dan tumbuhan yang perlu dipelihara demi kebaikan generasi masa hadapan.

Menurutnya, pendidikan dan kesedaran terhadap kecintaan alam sekitar perlu disemai sejak kecil lagi.

"Kita sering mengejar pembangunan tetapi lupa untuk menjaga kemampanan alam sekitar.

"Oleh itu, menerusi program ini pelbagai aktiviti menarik yang dijalankan mengikut tahap usia murid-murid di sini supaya mereka seronok bermain sambil menimba ilmu berkenaan haiwan dan tumbuh-tumbuhan.

PELAJAR mobiliti sedang menanam pokok ketika program berlangsung.
PELAJAR mobiliti sedang menanam pokok ketika program berlangsung.

"Di akhir program ini, saya lihat murid-murid banyak mengetahui nama haiwan dan tumbuhan yang baharu," katanya.

Pada masa sama, program itu turut mendukung Pelan Strategik UPM 2021-2025 melalui Matlamat 1, Melahirkan Watak Graduan Berdaya Tahan Mendepani Cabaran Mendatang yang meningkatkan kemahiran insaniah pelajar untuk berkongsi ilmu bersama komuniti dan meningkatkan kemahiran komunikasi.

Sementara itu Guru Besar, K. Sumathi berkata, program itu secara tidak langsung mendekati hati murid-murid untuk menghargai dan mencintai alam demi kebaikan mereka di masa hadapan.

"Pendekatan ini dapat melahirkan generasi yang bertanggungjawab untuk memelihara alam sekitar dan lebih menghargai pokok terutamanya.

"Murid-murid juga dapat mengetahui keperluan pokok yang banyak memberi kebaikan kepada kehidupan manusia dan haiwan," katanya.

Di samping itu, program berkenaan turut diserikan dengan penyertaan 10 pelajar mobiliti dari Queensland University of Technology (QUT), Australia yang menjadi fasilitator kepada murid-murid selain mempelajari kepelbagaian budaya yang terdapat di Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Oktober 2023 @ 6:12 AM