TINJAUAN ke sekolah berkenaan mendapati, murid-murid lengkap berpakaian sekolah termasuk memakai seragan kokurikulum pada hari pertama persekolahan. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
TINJAUAN ke sekolah berkenaan mendapati, murid-murid lengkap berpakaian sekolah termasuk memakai seragan kokurikulum pada hari pertama persekolahan. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Syaherah Mustafa


Rantau Panjang: Semua 595 buah sekolah rendah dan menengah seluruh Kelantan termasuk yang terjejas dengan banjir beroperasi dengan baik pada hari pertama persekolahan, hari ini.

Timbalan Pengarah Pendidikan Sektor Pengurusan Sekolah Kelantan, Mat Lazim Mohammad, berkata pemantauan juga turut dilakukan membabitkan pegawai Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) di setiap jajahan.

Katanya, hasil pemantauan mendapati operasi semua sekolah termasuk yang terjejas terutama di daerah Pasir Mas serta Tumpat berjalan dengan baik dengan kehadiran pelajar ke sekolah di awal pagi.

"Alhamdulillah, sekolah yang terbabit dengan banjir juga dapat diuruskan dengan baik termasuk menjalankan aktiviti gotong-royong yang turut mendapat kerjasama agensi keselamatan.

"Hasilnya, sekolah dalam keadaan bersih serta selamat untuk murid-murid serta guru meneruskan sesi pembelajaran. Semoga anak-anak pelajar bersemangat untuk meneruskan persekolahan walaupun diuji dengan fenomena banjir.

"Kami juga akan memastikan agar semuanya berjalan lancar supaya pelajar serta kakitangan sekolah dapat menjalankan tugas dengan baik," katanya ketika ditemui selepas membuat pemantauan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Rantau Panjang, di sini, hari ini.

SMK Rantau Panjang, di sini, adalah antara sekolah yang terjejas dengan banjir di Kelantan apabila dinaiki air separas 0.6 meter dalam kejadian bah baru-baru ini.

Bagaimanapun, tinjauan ke sekolah berkenaan, mendapati air surut sepenuhnya manakala murid-murid bersemangat memulakan persekolahan dengan lengkap berpakaian sekolah selain mengenakan uniform kokurikulum.

Semalam, media melaporkan, Jabatan Pendidikan Kelantan memberi kelonggaran kepada pelajar di negeri ini yang terjejas banjir untuk hadir ke sekolah dengan berpakaian biasa, bermula sesi persekolahan hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 January 2024 @ 11:32 AM