LAPORAN portal Harian Metro 20 Februari lalu.
LAPORAN portal Harian Metro 20 Februari lalu.
Izlaily Nurul Ain Hussein


KANAK-KANAK lelaki berusia 12 tahun yang menjadi mangsa dera ibu dan bapa tirinya di Pangsapuri Desa Melayu, Johor Bahru, kini berada di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Pelancongan negeri, Liow Cai Tung berkata, kanak-kanak terbabit yang sebelum ini dirawat di Hospital Sultanah Aminah (HSA) kini ditempatkan di Taman Sinar Harapan, Tampoi.

“Kanak-kanak itu kini berada di tempat selamat. Dia diselamatkan dan ditempatkan di Taman Sinar Harapan di bawah jagaan dan pemantauan JKM mengikut Seksyen 25(2) Akta Kanak-kanak 2001.

“Taman Sinar Harapan, Tampoi digazetkan sebagai tempat selamat mengikut Akta Kanak-kanak 2001,” katanya.

Ibu dan bapa tiri kanak-kanak itu dijatuhi hukuman penjara 24 bulan oleh Mahkamah Sesyen Johor Bahru, semalam, selepas mengaku bersalah mendera kanak-kanak lelaki itu, sehingga mengalami kecederaan fizikal.

Liow berkata, JKM akan sentiasa memastikan keselamatan kanak-kanak terbabit selain memberi kaunseling kepadanya.

LIOW Cai Tung. FOTO Arkib NSTP
LIOW Cai Tung. FOTO Arkib NSTP

Katanya, berdasarkan akta berkenaan, kanak-kanak itu akan berada di bawah jagaan JKM sehingga keadaannya stabil sebelum JKM mempertimbangkan soal hak penjagaannya kepada ahli keluarga yang lain.

“Kanak-kanak ini mesti sentiasa berada di bawah pemantauan JKM dan ahli keluarga yang ingin melawat perlu membuat permohonan kepada JKM.

“Jika ada yang mahu membawanya keluar, ia perlu dibuat atas perintah mahkamah,” katanya.

Diminta mengulas mengenai kejadian dera yang kerap berlaku akhir-akhir ini, Liow berkata, perancangan bagi membendung masalah itu dengan memberi pendidikan kepada ibu bapa dan masyarakat sekeliling.

“Saya faham ada beberapa kes dera yang berlaku dan ini sangat serius. Kementerian Wanita dan Pembangunan Keluarga ada mengarahkan semua Exco di negeri membincangkan bukan sahaja kes dera, tetapi berkenaan keluarga seperti perkahwinan bawah umur serta keganasan.

“Ini dalam perancangan supaya kita dapat memulakan cara mengatasinya dengan satu pendidikan yang perlu disalurkan kepada masyarakat supaya kes seperti ini tidak berulang lagi,” katanya.

Beliau berkata, daripada pemerhatian, mangsa atau masyarakat sekeliling tidak tahu bagaimana untuk memohon bantuan atau menyalurkan maklumat.

“Talian Kasih 15999 boleh dihubungi segera sekiranya anda menjadi mangsa anda mengetahui berlakunya kes seumpama itu di sekeliling anda,” katanya.

Akhbar ini melaporkan bukan sahaja didera ibu dan bapa tirinya sejak dua tahun lalu, kanak-kanak lelaki yang diselamatkan polis di Pangsapuri Desa Melayu, Taman Bayu Puteri, Johor Bahru, didapati tiada MyKid kerana kelahirannya tidak pernah didaftarkan.

Keadaan itu menyebabkan kanak-kanak berusia 12 tahun itu tidak pernah bersekolah dan tinggal di rumah bersama dua adik tirinya, perempuan berusia 3 tahun dan lelaki berusia setahun.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan (JBS), Asisten Komisioner Shahurinain Jais dipetik berkata, perkara itu terbongkar hasil pengakuan pasangan suami isteri yang ditahan polis.

Berita berkaitan:

  • Dera anak tiri tak sapu lantai
  • Menangis mengaku salah dera anak
  • 2 tahun didera ibu, bapa tiri
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Februari 2019 @ 11:53 AM