FOTO Hiasan
FOTO Hiasan
Suzalina Halid


TUJUH ahli ‘Geng 36 Kuala Ketil’ direman 21 hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes membabitkan jenayah kekerasan dan gangsterisme di negeri itu sejak dua tahun lalu.

Perintah tahanan reman itu dikeluarkan Majistret, Azman Abu Hassan di Mahkamah Sesyen Alor Setar sehingga 11 November ini selepas membenarkan permohonan dibuat polis.

Tujuh lelaki terbabit yang berusia 22 hingga 39 tahun itu ditahan Bahagian Anti Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah semalam.

Tangkapan dibuat secara berasingan dengan dua suspek ditahan di perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim manakala lima lagi di IPD Kuala Muda antara jam 2.30 hingga 6.30 petang.

Mereka ditahan selepas disyaki melakukan beberapa kes jenayah kekerasan dan bermotifkan gangsterisme di Baling, Kuala Muda dan Kulim sejak pertengahan Mei 2016.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kedah, Senior Asisten Komisioner Mior Faridalthrash Wahid yang mengesahkan perkara terbabit berkata, mereka ditahan reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 3(1) Akta Pencegahan Jenayah 1959.

“Mereka kini ditahan di lokap Balai Polis Pendang bagi membantu siasatan, ” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Oktober 2018 @ 3:11 PM