Abdul Rahemang Taiming


“SAYA anggap perkara ini selesai dan mereka juga sudah menyesal serta berjanji tidak mengulangi perbuatan itu,” kata Abdullah Mappiare, 27, pengurus dobi layan diri di di Jalan Haji Karim, Tawau.

Beliau berkata demikian susulan permohonan maaf oleh sekumpulan kanak-kanak, dipercayai kanak-kanak jalanan yang berpelakuan tidak senonoh di premis dobi itu, termasuk seorang kencing di tong sampah, awal pagi kelmarin.

Abdullah berkata, kumpulan kanak-kanak itu datang ke premisnya petang semalam dan memohon maaf atas tindakan yang mereka lakukan sebelum ini.

“Saya juga tidak mahu memanjangkan perkara ini dan memohon kerjasama orang ramai supaya terus menyokong kedai dobi kami,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Difahamkan kejadian itu bukan pertama kali, malah sebelum itu kumpulan kanak-kanak sama kerap mencuri barangan untuk kegunaan dobi seperti cecair pelembut pakaian dan bakul.

Semalam, rakaman daripada kamera litar tertutup (CCTV) mengenai kegiatan sekumpulan kanak-kanak berperangai tidak senonoh dan membuang air kecil di dalam tong sampah di premis dobi 24 jam itu tular di laman sosial.

Rakaman CCTV berdurasi lebih seminit itu, menunjukkan sekumpulan kanak-kanak berlari ke arah beberapa mesin basuh seolah-olah hendak mengambil pakaian pelanggan yang menggunakan perkhidmatan di kedai dobi berkenaan.

Berita berkaitan

Haa... korang buat apa tu?

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Oktober 2018 @ 10:40 AM