Rakaman CCTV menunjukkan kumpulan lelaki dan wanita mencuri pakaian kanak-kanak di sebuah kedai dekat pusat beli-belah di Taman Sutera Utama, Skudai. FOTO Ihsan CRJ
Rakaman CCTV menunjukkan kumpulan lelaki dan wanita mencuri pakaian kanak-kanak di sebuah kedai dekat pusat beli-belah di Taman Sutera Utama, Skudai. FOTO Ihsan CRJ
Izlaily Nurul Ain Hussein

AKSI sekumpulan lelaki dan wanita mencuri pakaian kanak-kanak ketika ketiadaan jurujual atau juruwang di kedai, berjaya dirakam kamera litar tertutup (CCTV) kedai pakaian kanak-kanak di pusat beli-belah dekat Taman Sutera Utama, Skudai di Johor Bahru.

Menerusi muat naik Facebook Community Roda Johor - CRJ, dua video berdurasi seminit memaparkan rakaman CCTV dari dua sisi berbeza menunjukkan gelagat kumpulan berkenaan dipercayai terdiri daripada dua lelaki dan dua wanita.

Dalam video itu, kejadian dipercayai berlaku pada jam 3.22 petang, 17 Ogos lalu itu, jelas kelihatan seorang lelaki dan seorang wanita masuk ke kedai sebelum membelek satu pakaian kanak-kanak berwarna kuning.

Mereka kemudian dilihat berkomunikasi dengan seorang wanita lain yang berada di dalam kedai, sebelum wanita pertama keluar dari premis berkenaan.

Turut kelihatan seorang lelaki lain membawa beg sandang yang kemudiannya berhenti sebentar dan melihat lelaki serta wanita membelek pakaian itu sebelum dia berjalan keluar dari kedai sama.

Tidak lama kemudian, wanita itu menanggalkan pakaian kanak-kanak terbabit daripada penyangkut baju dan berjalan keluar kedai bersama lelaki pertama sambil memasukkan pakaian itu ke dalam beg yang dibawanya.

Menerusi video yang dikongsi, meja juruwang kosong dan dipercayai tiada seorang pun jurujual dalam kedai berkenaan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Mohd Taib Ahmad ketika dihubungi mengesahkan pihaknya ada menerima laporan polis berhubung kejadian itu.

Bagaimanapun, katanya, siasatan masih dijalankan dan belum ada sebarang tangkapan dibuat.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam bangunan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Ogos 2018 @ 11:12 PM