Muhamad Safar Ahmad

Baru-baru ini penulis memenuhi undangan ke majlis jamuan kesyukuran seorang kenalan lama.

Bermacam makanan yang dihidangkan kepada tetamu yang hadir, maklumlah kenalan penulis ini agak berada orangnya.

Bagaimanapun, entah di mana silapnya sebahagian jemputan menghubungi kenalan tadi meminta maaf terpaksa membatalkan kehadiran di saat akhir.

Banyak jugalah meja yang kosong dan makanan juga tidak terusik. Kebetulan ketika itu hujan lebat menyebabkan tempias hujan masuk ke dalam makanan di bawah khemah.

Akhirnya makanan itu berakhir di dalam tong sampah. Jika dikira makanan terbuang itu boleh diberikan kepada lebih 50 orang.

Mungkin itu senario biasa bagi kita di Malaysia. Apa saja acara yang menyediakan jamuan pasti ada lebihan makanan dibuang.

Majlis kenduri kahwin, berbuka puasa, program hari keluarga, malah adakalanya di rumah pun ada makanan yang dicurahkan ke dalam tong sampah.

Menurut laporan, sisa domestik terutama makanan adalah sampah paling banyak dibuang dengan 204,421.13 tan sebulan yang mana ia mewakili 40 peratus daripada keseluruhan kuantiti sampah-sarap yang dibuang rakyat Malaysia.

Berdasarkan satu kajian, 15,000 tan sehari makanan yang dibazirkan di negara kita boleh diberi kepada 11 juta orang untuk tiga kali hidangan sehari dan purata berat satu hidangan setiap orang adalah 0.45 kilogram (kg).

Daripada jumlah sisa makanan yang dibuang, 20 peratus adalah makanan yang tidak dapat dihabiskan dan seterusnya berlaku pembaziran makanan.

Itu situasi di negara kita. Ia bukan auta, tapi fakta.

Ketika kita merungut terhadap isu kadar gaji kurang memuaskan, harga barangan mahal dan pelbagai kesukaran hidup lagi, restoran mamak dan makanan segera tidak pernah sunyi, malah dibuka 24 jam sehari.

Ketika kanak-kanak di benua Afrika dan negara bergolak di Timur Tengah sedang memungut sisa roti dari tong sampah dan mengisi perut dengan air kosong, anak-anak kita masih makan empat kali sehari.

Malah, bagi segelintir kanak-kanak nasi berlauk ikan dan ayam juga sudah tidak serasi dengan tekak mereka. Mereka hanya mahu makan piza atau stik.

Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menganggarkan 795 juta daripada 7.3 bilion atau satu daripada sembilan orang penduduk dunia mendapat makanan di bawah garis minimum yang diperlukan tubuh.

Mereka yang menderita kebuluran ini, 780 juta atau 13 peratus daripadanya berada di negara membangun.

Foto seekor burung hering sedang menunggu masa untuk menerkam seorang kanak-kanak perempuan kelaparan yang dirakam pemenang Hadiah Pulitzer Kevin Carter di Sudan pada 1993 amat menginsafkan.

Kisahnya kanak-kanak berkenaan dalam perjalanan ke pusat pengambilan makanan bagaimanapun kerana kelaparan dia tidak berdaya untuk meneruskan perjalanan. Ketika itulah seekor burung hering iaitu sejenis burung pembangkai meluru turun dan menunggu ‘ajal’ kanak-kanak itu.

Bagaimanapun, nasib kanak-kanak itu tidak diketahui selepas kejadian itu dan menurut laporan Carter menghalau burung berkenaan selepas selesai merakam foto.

Sudah tiba masanya kita menghentikan berlaku kejam pada makanan kerana kisah hering itu boleh berlaku di mana-mana dan kepada sesiapa saja.

Penulis Pengarang Berita Edisi Hujung Minggu Metro Ahad

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 November 2016 @ 4:00 AM