OPERASI SAR mangsa tanah runtuh. FOTO RAMDZAN MASIAM
OPERASI SAR mangsa tanah runtuh. FOTO RAMDZAN MASIAM
Muhammad Yusri Muzamir

PIHAK berkuasa kini mencari sebuah kontena ‘misteri’, dipercayai mempunyai mangsa yang masih tertimbus dalam kejadian runtuhan tanah di tapak projek Lebuhraya Berkembar Bukit Kukus di Georgetown.

Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri, Mohamad Shoki Hamzah berkata, kontena itu dipercayai tertimbus sedalam 20 meter dalam sisa runtuhan tanah di Sektor 2 kawasan pencarian.

Katanya, maklumat berhubung kontena ‘misteri’ itu diterima selepas menerima maklum balas daripada pihak kontraktor dengan bilangannya struktur berkenaan adalah sebanyak 13.

“Setakat ini, kerja mengorek kawasan plot yang menunjukkan kedudukan kontena itu sedang giat dijalankan kerana kita percaya terdapat mangsa yang masih tertimbus sama ada di dalam atau berhampiran struktur terbabit.

“Kontena terbabit berada di Sektor 2 dengan kerja penggalian hanya dapat dijalankan hari ini, kerana permukaan lokasi berkenaan sebelum ini dipenuhi dengan takungan air,” katanya pada sidang media, malam tadi.

Sehingga kini, seramai tujuh mangsa ditemui maut, manakala tiga cedera dan tiga lagi dikhuatiri tertimbus, selepas terbabit dalam kejadian tanah runtuh, kira-kira jam 1.56 tengah hari, kelmarin.

Projek bernilai RM545 juta itu muncul sebagai laluan alternatif menghubungkan Lebuhraya Thean Teik di Bandar Baru Air Itam ke Lebuh Bukit Jambul itu dijangka siap pada Mac 2020, selepas mengalami kelewatan setahun dari jangkaan asal.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Oktober 2018 @ 9:41 PM