LELAKI Myanmar berdiri di atas bumbung ketika cuba bunuh diri. FOTO ihsan Bomba
LELAKI Myanmar berdiri di atas bumbung ketika cuba bunuh diri. FOTO ihsan Bomba
Mohd Sabran Md Sani


BABAK drama lebih sejam cubaan bunuh diri pemuda Myanmar untuk terjun dari bumbung tingkat empat Flat Orked, Taman Desa Cemerlang, Johor Bahru berakhir apabila dia menukar niat dan bertindak melarikan diri.

Bagaimanapun pemuda berusia 30-an itu ditahan pasukan polis berhampiran bangunan itu, untuk siasatan lanjut kes cubaan bunuh diri.

Tindakan lelaki itu menarik perhatian orang ramai yang melihat berdiri di atas bumbung bangunan itu kira-kira 9 pagi sebelum Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dipanggil bagi membantu operasi menyelamat.

Pasukan bomba turut memasang tilam angin dibawah bangunan itu sebagai langkah berjaga-jaga bagi mengelak lelaki terbabit cedera.

Cubaan lebih sejam, pasukan bomba memujuk lelaki itu supaya turun tidak berhasil apabila lelaki terbabit tetap berdiri di atas bangunan terbabit.

Pegawai Operasi yang juga Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Johor Jaya, Tahrin Saat berkata, dua jentera dua pegawai dan 11 anggota dikejarkan ke lokasi sebaik menerima panggilan pada 9.03 pagi.

"Setibanya di lokasi kejadian terdapat lelaki berada di bumbung flat dengan keadaannya mundar mandar di kawasan berkenaan. Lelaki itu bercakap dalam bahasa yang sukar difahami. Kita berusaha memujuk dengan dibantu tangga dan turut memasang tilam angin di bawah bangunan," katanya dihubungi di Johor Bahru, hari ini.

Katanya, usaha memujuk mangsa berterusan lebih sejam tetapi lelaki itu tetap tidak berganjak dari atas bumbung.

"Sepanjang tempoh itu, dia yang mundar mandir turut melihat setiap tugasan anggota termasuk ketika tilam angin di pasang di bawah bangunan empat tingkat itu," katanya.

Katanya, secara tiba-tiba lelaki itu kemudian turun sendiri sebelum ditemui berada di bawah bangunan dengan selamat.

"Bagaimanapun berlaku satu lagi episod apabila dia yang cuba melarikan diri berjaya ditahan polis," katanya.

Katanya, berdasarkan pengalaman, individu yang mahu membunuh diri hanya mahukan perhatian orang ramai saja.

"Ikutkan pengalaman, individu seperti ini tidak mahu terjun. Kalau dia ada niat bunuh diri, dia akan terus terjun tetapi kebanyakan mereka mahukan perhatian saja," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Oktober 2018 @ 1:47 PM