FOTO Hiasan
FOTO Hiasan
Mohd Fahmi Mohd Yusof


KERAJAAN Johor menegaskan pendirian untuk tidak meluluskan sebarang permohonan lesen penganjuran pesta arak Oktoberfest di negeri itu.

Menteri Besar, Datuk Osman Sapian berkata, sehingga kini pihaknya tidak menerima sebarang permohonan dan tiada sebarang lesen dikeluarkan bagi penganjuran Oktoberfest.

Katanya, penganjuran secara terbuka berbeza dengan acara diadakan secara tertutup dibuat di premis menjual arak yang mempunyai lesen.

“Kita (kerajaan negeri) mengikut apa yang berlaku sebelum ini, kita tidak pernah mengeluarkan lesen Oktoberfest, kalau dalam kalangan mereka bukan Muslim hendak mengadakan seperti biasa di tempat menjual arak berlesen, kita tidak boleh nak buat apa.

“Tetapi untuk pesta ini dia mesti kena ada lesen lain dan sehingga kini, tiada lesen dikeluarkan untuk Oktoberfest di Johor,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan pelancaran larian amal sempena Hari Kantin di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Tampoi di Johor Bahru, hari ini.

Osman menegaskan, Oktoberfest bukan budaya masyarakat Malaysia dan ia bukan budaya baik yang boleh dicontohi semua pihak.

“Oktoberfest ini bukan budaya kita, ia budaya Jerman, jadi kita ini terikut-ikut benda yang macam ini buat apa.

“Bukan budaya orang Malaysia, bukan budaya orang yang bukan Islam di Malaysia. Jadi perkara yang tidak baik, yang boleh datang mudarat ini, tidak perlulah kita contohi demi kebaikan diri, keluarga dan masyarakat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Oktober 2018 @ 10:33 AM