FOTO Hiasan
FOTO Hiasan
Hasbi Sidek


MESKIPUN golongan bukan Islam tidak dilarang untuk minum minuman keras, sepatutnya perkara itu tidak dipromosikan sebagai pesta memandangkan ia bertentangan dengan norma nilai dan budaya bangsa di negara ini.

Exco Pergerakan Pemuda UMNO Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin berkata, pihaknya membantah sekeras-kerasnya penganjuran acara itu di negara ini.

Kami tidak bersetuju dan membantah festival mempromosi arak yang dibenarkan dan tidak dihalang oleh pihak Kementerian Wilayah Persekutuan melalui Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kerana ia boleh mengundang bahaya termasuk kemalangan jalan raya, kes pergaduhan dan kerosakan akhlak kepada rakyat Malaysia.

“Walaupun masyarakat Malaysia berbilang kaum, namun pesta ini jauh melangkaui norma dan nilai serta budaya bangsa di negara ini. Bagi saya, orang bukan Islam tidak dilarang untuk meminum minuman keras, tetapi biarlah tertutup atau di tempat yang dibenarkan tanpa mempromosikan ia sebagai pesta,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, kesannya dapat dilihat tempat bermulanya pesta itu iaitu di Jerman iaitu Munich, perkara yang terjadi ketika dan selepas pesta Oktoberfest, banyak kerosakan premis berlaku, pergaduhan dan juga perkara yang tidak diingini terjadi.

“Justeru, saya sekeras-kerasnya membantah pesta ini dipromosikan di negara ini. Ketika zaman kerajaan BN, kerajaan tidak membenarkan promosi dan pesta ini dianjurkan.

“Bagaimanapun, ada juga sebilangan premis tetap berdegil melakukannya tanpa pengetahuan pihak berkuasa tempatan (PBT),” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Oktober 2018 @ 1:45 PM