JALAN alternatif menghubungkan Taman Akasia-Kampung Pulau Nibong dekat Pengkalan Batu, Batu Berendam ditutup.
JALAN alternatif menghubungkan Taman Akasia-Kampung Pulau Nibong dekat Pengkalan Batu, Batu Berendam ditutup.
Noor Azurin Mohd Sharif

Melaka: “Sebagai peniaga dan wakil penduduk, saya harap pihak berwajib dapat selesaikan isu penutupan jalan pintas di Taman Akasia-Kampung Pulau Nibong dengan segera kerana ia menyesakkan jalan berhampiran flat,” kata penduduk Flat Batu Berendam yang hanya mahu dikenali sebagai Ita, 45.

Dia berkata, penutupan jalan pintas itu sejak 1 Oktober lalu secara tidak langsung memberi kesan kepadanya.

“Keadaan jalan menjadi sesak apabila jalan pintas berkenaan ditutup dan lebih teruk lagi pada waktu pagi dan ketika sesi persekolahan tamat pada tengah hari.

“Lebih mengecewakan, apabila pelanggan saya sukar datang ke kedai, berbanding dulu apabila tapak parkir menjadi sempit dengan laluan yang sentiasa sesak,” katanya ketika ditemui, semalam.

Dia yang berniaga lebih tujuh tahun di bawah flat itu berkata, disebabkan laluan sempit dan jalan dua hala, keretanya hampir bergesel dengan kenderaan lain.

“Sebab itu saya minta pihak berwajib dapat buat keputusan segera bagi manfaat kedua-dua pihak (penduduk taman dan kampung),” katanya.

Penduduk kampung, Ali Lajih, 57, menganggap isu penutupan jalan pintas itu tidak besar, namun sikap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Batu Norhizam Hassan Baktee mengundang kekesalan.

“Jika ada perbincangan sebelum penutupan (jalan pintas), penduduk boleh terima, tetapi Yang Berhormat (YB) ini seolah-olah tak beri kami bersuara, tambahan pula dengan sikapnya yang agak kasar dengan penduduk.

“Saya tinggal di sini lebih 50 tahun lalu, tak pernah pun kejadian tak diingini berlaku. Semua yang diberikan (kes kecurian dan kemalangan) hanya alasan semata-mata, jika mahu tutup sekali pun buatlah, tetapi sekurang-kurangnya beri laluan untuk penunggang motosikal,” katanya.

Penduduk Taman Akasia yang hanya mahu dikenali Man, 24, berkata, kebanyakan penduduk taman di situ bersetuju dengan penutupan jalan pintas berkenaan yang sememangnya dimohon lebih 10 tahun lalu.

“Penduduk taman ini sokong. Kami sudah memohonnya sejak dulu lagi berikutan banyak kes pecah rumah berlaku,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Oktober 2018 @ 11:34 AM