LALUAN di KM3.9 (Simpang Hospital) sehingga KM2.4 (Jambatan Taman Damar) masih dibuka untuk pengguna jalan raya. FOTO Paya Linda Yahya
LALUAN di KM3.9 (Simpang Hospital) sehingga KM2.4 (Jambatan Taman Damar) masih dibuka untuk pengguna jalan raya. FOTO Paya Linda Yahya
Paya Linda Yahya


Gua Musang: Pertubuhan Martabat Sejagat (Martabat) berharap jurutera daerah dapat mengkaji semula penutupan Jalan Gua Musang-Kuala Lipis pada tempoh perayaan dan minta ia ditangguhkan selepas musim perayaan.

Penutupan jalan itu membabitkan laluan Kilometer (KM) 3.90 (Simpang Hospital) hingga KM2.40 (Jambatan Taman Damar) dan KM 0.80 (Bawah Flyover Taman Damar).

Merujuk kepada notis dikeluarkan Jabatan Kerja Raya (JKR) Jajahan Gua Musang, penutupan bermula 29 Mac sehingga 28 April itu bagi tujuan kerja pemasangan cerucuk jambatan (boring work) bagi Projek Lingkaran Tengah Utama (LTU) yang terdahulu dikenali sebagai Central Spine Road (CSR) 3B dan 3C.

Setiausaha Pertubuhan Martabat Sejagat, Mohd Khairulhisham Norudin berkata, penutupan pada tempoh itu dikhuatiri mengganggu urusan seharian penduduk sekitar terutama musim perayaan yang bakal tiba nanti.

"Sambutan Aidilfitri dijangka pada 23 April ini. Jalan berkenaan adalah laluan utama anak perantau di Kelantan dan dikhuatiri menimbulkan kesesakan kepada pengguna jalan raya.

"Dijangka kira-kira sejuta pengguna akan menggunakan laluan utama jalan persekutuan berkenaan.

"Justeru, pertubuhan memohon penangguhan penutupan laluan KM3.90 sehingga KM0.80 dalam kawasan tapak projek sehingga musim perayaan tamat," katanya dalam satu kenyataan.

Mohd Khairulhisham berkata, tempoh sebulan penutupan jalan berkenaan adalah tidak memadai dan berkemungkinan akan mengambil masa yang lebih lama.

"Ia berikutan kerja selepas penanaman cerucuk akan dilakukan, seperti penyambungan jambatan dan terdapat banyak kerja masih belum dijalankan," katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Galas, Mohd Syahbuddin Hashim berkata, penutupan jalan selama sebulan akan menyukarkan pergerakan masyarakat setempat terutamanya di akhir Ramadan untuk keluar mendapatkan keperluan Aidilfitri.

"Kita berharap supaya penutupan jalan itu dapat ditangguhkan buat sementara waktu," katanya.

Memetik kenyataan Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Kelantan, Ir Mohd Suhaili Ismail di Facebook (FB), pihaknya mengambil maklum kegusaran pengguna kesan penutupan jalan yang akan meningkatkan kesesakan di musim perayaan yang akan tiba nanti.

Katanya, penutupan laluan itu mengambil pertimbangan yang sewajarnya sebagai mitigasi untuk mengurangkan kesesakan memandang laluan itu terdapat beberapa 'bottleneck' (jalan sempit) kesan pembinaan jalan baru LTU.

"Jalan alternatif FT 008 yang lama lebih selesa dan luas untuk menampung pertambahan trafik di musim perayaan nanti.

"Kekhilafan dalam menyampaikan notis penutupan ialah dengan tidak memaklumkan situasi sebenar menyebabkan timbul persepsi negatif oleh pengguna jalan raya dari luar Gua Musang," katanya.

Menurutnya, JKR Gua Musang akan mengeluarkan notis tambahan secara rasmi dalam masa terdekat.

Tinjauan mendapati, laluan itu masih dibuka untuk pengguna jalan raya sehingga hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Mac 2023 @ 8:01 PM