LOKASI kejadian berkenaan kes samun dan bunuh di rumah di Taman Seremban Jaya. FOTO Adzlan Sidek
LOKASI kejadian berkenaan kes samun dan bunuh di rumah di Taman Seremban Jaya. FOTO Adzlan Sidek
Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor


SUSPEK kes samun dan bunuh wanita di rumah di Taman Seremban Jaya, Fasa 10, Seremban, semalam, diberkas polis, malam tadi.

Lelaki berusia 36 tahun itu ditahan selepas dikesan berada di hotel di Jalan Seremban-Tampin di sini, pada 10.30 malam.

Sumber polis berkata, turut dirampas motosikal Honda EX5 yang digunakan suspek dalam kejadian itu serta menemui semula telefon bimbit serta kad sim milik mangsa.

“Polis turut merampas wang tunai lebih RM700 dan menemui slip jual beli emas bernilai RM950 yang dipercayai milik mangsa,” katanya.

Kata sumber itu, pemeriksaan ke atas motosikal suspek menjumpai pakaian, pisau cukur, gumpalan wang kertas dan sebotol arak.

“Soal siasat awal mendapati, suspek mengaku melakukan samun dan pembunuhan menggunakan pisau pemotong kertas yang dibeli di kedai di bandar Seremban,” katanya.

Menurutnya, sewaktu tangkapan dilakukan, lelaki itu berada di bawah pengaruh alkohol dan dipercayai turut dalam keadaan mabuk ketika melakukan jenayah itu.

“Siasatan lanjut mendapati suspek mempunyai dua rekod lampau berkaitan dadah dan satu kes curi,” katanya.

Harian Metro semalam melaporkan mangsa, Gunawathy maut dikelar penjenayah 1.30 tengah hari, semalam oleh suspek yang masuk ke kediamannya.

Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di rumah jiran, suspek meninggalkan motosikal di luar pagar lalu menerjah masuk sebelum dipercayai berlaku pergelutan antara mereka.

Suspek bertindak mengelar leher mangsa sebelum melarikan RM500, telefon bimbit dan barang kemas.

Sementara itu, Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Noor Azam Jamaluddin difahamkan akan mengadakan sidang media berhubung perkembangan kes itu esok.

Berita berkaitan

'Tergamak kau kelar leher dia' [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Oktober 2018 @ 12:29 PM