Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor

Seremban : Mahkamah Tinggi, di sini menetapkan 29 Ogos ini sebagai tarikh mendengar keputusan berhubung pembatalan petisyen Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang dikemukakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau, Datuk Seri Mohamad Hasan terhadap calon PKR, Dr S Streram.

Hakim Mahkamah Tinggi Seremban, Datuk Azimah Omar membuat ketetapan selepas responden kedua dan ketiga iaitu Pegawai Pilihan Raya DUN Rantau, Amino Agos Suyub dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membuat bantahan terhadap pembatalan petisyen dalam prosiding yang berlangsung, semalam.

Sehubungan itu, responden kedua dan ketiga akan dibicarakan pada 12, 13, 14, 27 dan 28 September serta 1 dan 2 Oktober depan.

Jika permohonan Mohamad selaku responden pertama diluluskan mahkamah, beliau tidak dibicarakan namun jika gagal bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu perlu hadir perbicaraan selama tujuh hari bersama Amino Agos serta SPR.

 MOHAMAD  bersama isterinya, Datin Seri Raja Salbiah Tengku Nujumudin ketika hadir ke Mahkamah Tinggi Seremban.
MOHAMAD bersama isterinya, Datin Seri Raja Salbiah Tengku Nujumudin ketika hadir ke Mahkamah Tinggi Seremban.

Dalam prosiding hari pertama, kelmarin, Mohamad diwakili lima peguam iaitu Datuk Hafalizam Harun, Syed Faisal Syed Abdullah, Abu Bakar Isa Rahmat, Yazid Mustaqim dan Iqhmal Syafiq Azim manakala Dr Streram diwakili Muhammad Hanif Kathri Abdullah, Muhammad Rafique Rashid Ali, GP Sreekant dan S Sathia.

Ketika berhujah, Syed Faisal meminta mahkamah meluluskan permohonan Mohamad berikutan petisyen dikemukakan Dr Streram tidak mengikut peraturan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Ogos 2018 @ 9:14 AM