ABDUL Hadi Awang ketika sidang media pada majlis Konvokesyen Kolej Islam Darul Ulum kali ke-14 di Kuala Nerang. FOTO Amran Hamid
ABDUL Hadi Awang ketika sidang media pada majlis Konvokesyen Kolej Islam Darul Ulum kali ke-14 di Kuala Nerang. FOTO Amran Hamid
Suzalina Halid


PAS mempersoalkan kesamaan asas yang boleh menyatukan UMNO dengan mana-mana parti dalam Pakatan Harapan (PH) untuk membentuk kerajaan perpaduan seperti diharapkan presiden parti itu, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Presiden PAS, Datuk Seri Hadi Awang berkata, PAS hanya boleh menerima kemungkinan kewujudan kerajaan perpaduan itu jika ia ditubuhkan berlandaskan asas Islam.

“Kita kena tengok dulu apa cadangannya, memanglah perpaduan itu untuk kita semua tetapi ia atas asas apa? Kita ada asas sendiri iaitu Islam... Islam mesti berada di hadapan.

“Mengenai kerajaan perpaduan ini kita sudah cadangkan pada 2008 lagi, ketinggalan zaman dah... malah PAS sendiri memang pernah menyertai dan terbabit dalam kerajaan campuran dan sertai Barisan Nasional (BN) sebelum ini, ” katanya kepada sidang media selepas menyampaikan ucaptama pada Istiadat Konvokesyen Kolej Islam Darul Ulu (KIDU) kali ke-14 di Kuala Nerang.

Sebelum ini, Ahmad Zahid mengharapkan penubuhan kerajaan perpaduan antara parti itu dengan mana-mana parti politik dalam kerajaan dapat direalisasikan segera.

Namun, Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dilaporkan berkata, tiada perbincangan mengenai kerjasama di antara PKR dan UMNO bagi membentuk kerajaan perpaduan.

Pada masa sama, Hadi berkata, pihaknya belum jelas mengenai angan-angan pembentukan kerajaan perpaduan itu termasuk sejauh mana kekuatannya untuk mentadbir negara.

Ketika ditanya sama ada PAS menyokong usaha ke arah itu, beliau bagaimanapun berkata, terlalu awal untuk diperkatakan berikutan tiada butiran mengenainya dibincangkan sebelum ini.

“Kita tidak terikat dengan sesiapa kerana kita bergerak sendiri... sama ada terima atau tidak, kita tak tahu lagi dan saya tidak boleh menjawab berdasarkan andaian kerana kita kena lihat kekuatan yang ditawarkan pada kita,” katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Hadi berkata, kerajaan tidak sepatutnya bertindak menutup mana-mana pusat tahfiz yang tidak berdaftar dengan pihak berkuasa, sebaliknya perlu dibantu bagi urusan mendapatkan lesen.

Katanya, adalah tidak adil bagi mana-mana pengurusan pusat tahfiz yang terpaksa ditutup hanya kerana tidak mempunyai lesen sedangkan pengisiannya adalah baik untuk mengajar agama.

“Kita nak tahu sebab apa perlu tutup? Kalau nak tutup tahfiz sebab tiada lesen, ia tak betul dan kita tak setuju ditutup sebaliknya perlu bantu untuk menguruskannya, ” katanya.

Sebelum ini, Menteri Wilayah, Khalid Abu Samad dilaporkan berkata, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan menutup semua pusat tahfiz yang didapati tidak berdaftar dengan pihak berkuasa dan beroperasi secara haram.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 September 2018 @ 7:34 PM