ROSMAH. FOTO Arkib NSTP
Wartawan NSTP

ISTERI kepada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, Datin Seri Rosmah Mansor akan dipanggil polis dalam masa terdekat bagi membantu siasatan berkaitan rampasan barang kemas dipercayai miliknya, Jun lalu.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata, pihaknya akan memanggil Rosmah bagi membantu siasatan berhubung rampasan barangan kemas yang sebahagian miliknya itu dipercayai mempunyai kaitan dengan kes dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

"Buat masa sekarang, pihaknya sedang mengenal pasti identiti barang-barang kemas yang dirampas itu dan pakar serta syarikat yang berkaitan sedang memeriksanya. Selepas selesai semua itu, polis akan memanggil beliau untuk membantu siasatan terutama bagi membuat pengesahan adakah barang kemas itu miliknya," katanya.

Noor Rashid berkata, Najib juga bakal berdepan beberapa lagi pertuduhan berhubung dana 1MDB.

Noor Rashid berkata, siasatan berhubung dana 1MDB masih dijalankan dan banyak lagi siasatan kes itu belum lengkap ketika ini dan ia mengambil sedikit masa.

“Memang akan ada lagi pertuduhan membabitkan (Datuk Seri) Najib kerana banyak lagi siasatan masih dijalankan terhadapnya termasuk di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan (pecah amanah) serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFA) 2001,” katanya.

Sementara itu, Noor Rashid berkata, pihaknya tidak akan memanggil Ahli Parlimen Baling Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) baru-baru ini.

Katanya, Azeez hanya akan dipanggil untuk diambil keterangan oleh polis sekiranya hasil siasatan mendapati dia terbabit dalam 1MDB.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 September 2018 @ 1:26 PM