LELAKI berusia 58 tahun ditemui dalam maut di tempat duduk kereta yang terkunci di Kilometer  35.2 Lebuhraya Kesas, dekat Subang, 6 petang tadi. FOTO Ihsan Bomba
LELAKI berusia 58 tahun ditemui dalam maut di tempat duduk kereta yang terkunci di Kilometer 35.2 Lebuhraya Kesas, dekat Subang, 6 petang tadi. FOTO Ihsan Bomba
Hasbi Sidek


LELAKI berusia 58 tahun ditemui maut di tempat duduk pemandu dalam kereta yang terkunci di Kilometer 35.2, Lebuhraya Shah Alam (KESAS), dekat Subang Jaya, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 6 petang itu, pihak bomba terpaksa dipanggil untuk membuka pintu kereta Proton Persona berkenaan.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor Mohd Rizal Buang berkata, pihaknya terpaksa mengumpil pintu kenderaan itu sebelum berjaya membukanya, namun pemeriksaan mendapati lelaki itu sudah meninggal dunia.

“Pihak kami menerima panggilan khidmat khas membuka pintu kereta terkunci 6.12 petang sebelum anggota dan pegawai dengan dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya bergegas ke lokasi.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian dan membuat pemantauan, kami mendapati seorang lelaki berusia 58 tahun berada dalam keadaan tidak sedarkan diri di dalam kereta,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, anggota bertindak mengumpil pintu bagi membuka cermin kenderaan dan berjaya.

“Anggota Perkhidmatan Bantuan Perubatan Kecemasan (EMRS) yang turut berada di lokasi memberi bantuan awal CPR (bantuan pernafasan) sehingga ambulans dari Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) tiba.

“Pegawai perubatan PPUM mengesahkan mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian sebelum kes ini diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan susulan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 September 2018 @ 8:14 PM