KEADAAN mayat warga Indonesia yang ditemui mati akibat ditikam dengan pisau dapur (gambar kecil) di Bukit Jelutong, Shah Alam. FOTO Muhammad Sulaiman
KEADAAN mayat warga Indonesia yang ditemui mati akibat ditikam dengan pisau dapur (gambar kecil) di Bukit Jelutong, Shah Alam. FOTO Muhammad Sulaiman
Ayusliza Azizan


WANITA warga Indonesia maut apabila ditikam bertubi-tubi oleh teman lelakinya selepas dipercayai mengajak suspek yang baru dikenali tujuh bulan lalu untuk berkahwin, Sabtu lalu.

Dalam kejadian 8.25 malam di sebuah pangsapuri di Bukit Jelutong, Shah Alam, mayat mangsa, 38, ditemui dengan 28 kesan tikaman di leher, tengkuk, perut dan belakang badannya.

Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Baharuddin Mat Taib berkata, mangsa ditemui dalam keadaan terlentang dan berlumuran darah oleh jirannya yang kebetulan melalui rumah sewa mangsa.

“Mangsa yang bekerja sebagai pembantu kantin di sebuah sekolah di Shah Alam ditikam menggunakan pisau dapur yang turut ditemui di tempat kejadian.

“Siasatan awal mendapati berlaku pergelutan antara mangsa dan teman lelakinya sebelum kejadian.

“Polis sudah menahan lelaki tempatan, 40, yang juga teman lelaki mangsa di Seksyen 13 Shah Alam, dua jam selepas menerima laporan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam, hari ini.

Menurutnya, suspek yang bekerja sebagai kontraktor pendawaian eletrik itu, difahamkan mempunyai masalah mental tetapi pihak polis masih menunggu pengesahan daripada pihak hospital.

Katanya, suspek direman sehingga 17 Mac ini bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Dalam perkembangan lain, Baharuddin berkata, empat lelaki berusia 28 hingga 38 tahun ditahan dalam tiga serbuan di premis yang menjual minuman keras tanpa lesen, semalam.

Menurutnya, kesemua yang ditahan adalah pekerja tiga premis berkenaan terdiri daripada tiga warganegara Myanmar dan seorang rakyat tempatan.

“Dalam serbuan itu, polis merampas 222 tin minuman keras serta 723 botol minuman keras bernilai RM30,000,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Mac 2018 @ 7:49 PM