Seekor gajah jantan berusia 15 tahun ditangkap PERHILITAN negeri selepas memusnahkan kelapa sawit. FOTO PERHILITAN
Seekor gajah jantan berusia 15 tahun ditangkap PERHILITAN negeri selepas memusnahkan kelapa sawit. FOTO PERHILITAN
Baharom Bakar


Kuala Terengganu: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) negeri menangkap seekor gajah jantan liar yang memusnahkan tanaman kelapa sawit di Kampung Seri Bayas, Setiu, semalam.

Pengarah Perhilitan Terengganu Loo Kean Seong berkata, gajah jantan seberat 1.5 tan itu ditangkap dalam operasi oleh sepasukan tujuh kakitangan kira-kira 11 pagi.

Katanya, haiwan liar dianggarkan berusia 15 tahun itu ditangkap selepas pihaknya menerima laporan daripada pekebun apabila tanaman kelapa sawit mereka dirosakkan oleh gajah.

"Operasi memburu gajah itu dilakukan selepas kita menerima laporan daripada pekebun apabila tanaman kelapa sawit yang diusahakan mereka musnah akibat gajah.

"Gajah jantan berkenaan akan dipindahkan ke Taman Negara, Khamis ini," katanya.

Katanya, pihaknya akan membuat pemantauan di kawasan berkenaan kerana pekebun kelapa sawit mendakwa terdapat lebih seekor gajah yang memasuki kebun mereka.

Media sebelum ini melaporkan enam pemilik kebun kelapa sawit di kampung itu kerugian lebih RM70,000 selepas tanaman diusahakan sejak November tahun lalu diserang sekumpulan gajah liar.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Mei 2023 @ 4:21 PM