KEADAAN pacuan empat roda yang terbabas ke dalam ladang sawit.
KEADAAN pacuan empat roda yang terbabas ke dalam ladang sawit.
Oleh Abd Rahman Adam


Marudi: Nasib menyebelahi tiga beranak termasuk seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun apabila terselamat selepas kenderaan dinaiki terbabas sejauh 19 meter di Kilometer 19, Jalan Marudi-Miri, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 9.30 pagi, tiga beranak terbabit hanya cedera ringan sebelum dibantu oleh orang ramai yang menyaksikan kejadian itu.

Difahamkan, sebelum kejadian kesemua mangsa yang menaiki kenderaan pacuan empat roda (4WD) jenis Toyota Land Cruiser dalam perjalanan ke Miri dari Marudi kira-kira 8.30 pagi.

Menurut sumber, dalam kejadian itu, malang menimpa tiga beranak itu apabila kereta dipandu Pius Bilong Apoi, 45, hilang kawalan sebaik tiba di tempat kejadian menyebabkan kenderaan terbabas ke bahu jalan lalu memasuki kawasan ladang kelapa sawit berhampiran.

"Isteri mangsa Hilda Sulau Tuchin, 41, dan Odhylia Pius, 2, dibawa ke Hospital Miri untuk mendapatkan rawatan dan keadaan mereka dilaporkan stabil.

"Difahamkan, tiga beranak itu dalam perjalanan ke Miri selepas bercuti di kampung halaman di Marudi sejak minggu lalu," katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Marudi, Zolbadar Alior berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian untuk operasi menyelamat sebaik menerima panggilan kecemasan pada 9.45 pagi.

Katanya, siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian, namun pemeriksaan awal tidak menolak kemungkinan kereta dipandu laju sekaligus menyebabkan kenderaan dinaiki hilang kawalan dan terbabas.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Februari 2015 @ 1:58 PM