KAMALANATHAN (kiri) bersama Akbarali menunjukkan laporan yang dibuat terhadap majikan di Balai Polis Selayang.
KAMALANATHAN (kiri) bersama Akbarali menunjukkan laporan yang dibuat terhadap majikan di Balai Polis Selayang.
Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Didera majikan secara fizikal dan mental hingga gila dan terpaksa dimasukkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

Itu nasib dialami lelaki warga India yang terpaksa menahan derita selepas diperlakukan kejam majikannya.

Presiden Pertubuhan Kebajikan Global Keselamatan Manusia Malaysia (HUMANITY) T Kamalanathan berkata, mangsa Akbarali Kaja Mohideen, 31, datang ke Malaysia pada 2012 dengan permit untuk bekerja di restoran di Jalan Lumut, Sitiawan, Perak.

Bagaimanapun, katanya, sebaik tiba di negara ini, lelaki itu diarahkan bekerja sebagai penjual tiket di syarikat ejen pelancongan selama tiga tahun.

“Sepanjang tempoh tiga tahun itu, mangsa didera secara mental dan fizikal hingga mengakibatkan dia mengalami masalah mental dan perlu menerima rawatan di Hospital Sitiawan,” katanya.

Kamalanathan berkata, sepanjang tempoh lelaki itu bekerja, beliau bergantung kepada ubat sakit mental yang dibekalkan isterinya dari India dengan kos sebanyak 4,000 Rupee atau RM237 setiap dua bulan.

“Akibat perbelanjaan tinggi dan keadaan kesihatannya yang semakin merosot, lelaki itu meminta untuk dihantar balik ke kampung halaman namun majikannya enggan berbuat demikian.

“Malah, lelaki itu tidak diberikan gaji bagi tempoh Jun dan Julai lalu serta pasport miliknya disimpan majikan.

“Majikannya mengugut akan membuat laporan polis kononnya lelaki itu mencuri wang sebanyak RM5,000 selepas melarikan diri dengan menaiki bas dari Sitiawan ke Terminal Bersepadu Selatan (TBS) di sini, pada 1 Ogos lalu,” katanya yang memaklumkan pihaknya membuat laporan di Balai Polis Selayang berhubung kejadian berkenaan.

Beliau berkata, mangsa ditemuinya menangis di TBS sebelum dibawa pulang dan mendapatkan rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

“Ketika ini, Akbarali masih memerlukan rawatan psikiatri di HKL atas masalah mental yang dialaminya.

“Saya merujuk perkara ini kepada Jabatan Tenaga Kerja (JTK) dan memanggil majikannya.

“Namun majikannya sering menangguhkan proses menghantar balik Akbarali seperti yang dijanjikan pada Jun lalu.

“Saya harap majikannya tampil menyelesaikan masalah ini dengan baik termasuk membayar tunggakan gaji dan menghantar Akbarali pulang ke kampung halaman,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Ogos 2018 @ 11:43 AM