Hasbi Sidek


MAMPU memperoleh RM500 hingga RM10,000 hasil wang suapan bulanan. Itu dilakukan seorang pengurus bahagian dalam Malaysia Airports Holdings Berhad sejak 2006.

Lelaki berusia 51 tahun berkenaan difahamkan mempunyai kuasa untuk meluluskan permohonan sewa tapak perniagaan di lapangan terbang di seluruh negara.

Bagaimanapun, lelaki itu ditahan pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Pejabat SPRM Selangor di Persiaran Perbandaran, Seksyen 14, Shah Alam, 1.15 tengah hari ini.

Sumber berkata, suspek dikatakan meminta dan menerima wang suapan bulanan daripada pemilik syarikat.

“Daripada maklumat kami terima dan hasil risikan awal, kami mendapati suspek memegang jawatan sebagai pengurus bahagian itu sejak 2006 hingga 2014.

“Suspek dipercayai meminta dan menerima suapan secara bulanan sekitar RM500 hingga RM10,000 daripada pemilik syarikat sebagai dorongan untuk meluluskan dan memperbaharui permohonan sewaan tapak perniagaan di lapangan terbang di seluruh negara.

“Dia bagaimanapun ditahan dalam Op Diamond di Pejabat SPRM Selangor tengah hari tadi,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, permohonan reman terhadap suspek akan dilakukan di Mahkamah Shah Alam, 10 pagi esok.

Menurutnya, kes akan disiasat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Ogos 2018 @ 11:42 PM