PENTERNAK babi, Ng Boon San (kiri) didenda RM2,500 selepas mengaku bersalah kerana memproses makanan haiwan tanpa lesen di Mahkamah Majistret Batu Pahat. FOTO Adi Safri
PENTERNAK babi, Ng Boon San (kiri) didenda RM2,500 selepas mengaku bersalah kerana memproses makanan haiwan tanpa lesen di Mahkamah Majistret Batu Pahat. FOTO Adi Safri
Mohamad Fahd Rahmat


PENTERNAK babi didenda RM2,500 selepas mengaku bersalah kerana memproses makanan haiwan tanpa lesen di Mahkamah Majistret Batu Pahat, hari ini.

Tertuduh, Ng Boon San, 59, mengaku demikian di hadapan Majistret Mohd Syafiq Mustaza selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mengikut kertas pertuduhan, Boon San didakwa melakukan kesalahan di bawah peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Makanan Haiwan (Pembuatan dan Penjualan Makanan Haiwan atau Bahan Tambahan Makanan Haiwan) 2012.

Tertuduh melakukan kesalahan berkenaan pada 10.30 pagi 12 Mac lalu di ladang penternakan babi di Taijong Farm Sdn Bhd, Jalan Tanjung Labuh di sini.

Jika sabit kesalahan boleh dihukum di bawah Peraturan 14, peraturan yang sama iaitu denda tidak melebihi RM10,000 atau dipenjara selama tempoh tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya.

Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Perkhidmatan Veterinar Johor Mohd Faiz Ajis manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Ogos 2018 @ 12:02 PM