Khairul Azran Hussin

PENAMATAN tugasan kawalan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) di semua Pusat Khidmat Komuniti RELA (PKKR) membuktikan kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengamalkan dasar ‘balas dendam’ dalam pentadbiran mereka.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan turut menyifatkan menteri PH ‘pendek akal’ dengan menghapuskan semua perkara yang dilaksanakan kerajaan terdahulu, walaupun ia memberi manfaat kepada rakyat.

“Beberapa keputusan yang dibuat menteri jelas menggambarkan sikap angkuh mereka. Mereka begitu angkuh buat keputusan seolah-olah semua perkara yang kita buat sebelum ini tidak elok.

“Mereka sepatutnya berfikir panjang serta melihat peranan RELA dalam skop yang lebih luas, bukannya untuk jimatkan bayaran elaun semata-mata.

“Ini kerana kehadiran anggota RELA di tempat awam sedikit sebanyak menyumbang kepada aspek keselamatan walaupun mereka tidak dibekalkan senjata api,” katanya pada sidang media di pejabat UMNO Bahagian Kota Raja, hari ini.

Beliau mengulas mengenai surat pekeliling yang tersebar di media sosial berhubung penamatan tugasan berbayar anggota (RELA) di 98 pusat PKKR berkuat kuasa 1 September ini.

Berdasarkan surat yang ditandatangani Pengarah Bahagian Operasi RELA, Mohamad Razib Buhaini, semua Pengarah RELA diminta memaklumkan perkara itu kepada pejabat RELA daerah.

Bagaimanapun, RELA tiada halangan jika anggotanya mahu bertugas secara sukarela tanpa bayaran elaun.

Dalam pada itu, Mohamad berkata, tindakan itu menyebabkan anggota RELA hilang punca pendapat tambahan.

“Memang betul anggota RELA masing-masing ada pekerjaan utama, tetapi kebanyakan anggota RELA juga mengharapkan elaun yang diterima untuk menampung keperluan keluarga mereka.

“Saya tidak tahu sebab apa keputusan ini diambil dan ini tamparan hebat kepada anggota RELA seolah-olah khidmat mereka tidak lagi dihargai,” katanya.

Ketika pentadbiran kerajaan terdahulu, fungsi serta peranan RELA dipertingkatkan menjadi sebuah jabatan.

Selain itu, elaun anggota RELA juga dinaikkan daripada RM6 kepada RM8 sejam manakala RM7.80 kepada RM9.80 sejam bagi pegawai.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Ogos 2018 @ 7:30 PM