Syed Umar Syed Ariff dan Mohd Iskandar Ibrahim


KERAJAAN meningkatkan elaun anggota dan pegawai Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) daripada RM6 kepada RM8 sejam dan RM7.80 kepada RM9.80 sejam bermula tahun ini.

Malah, kerajaan turut meluluskan peruntukkan tambahan sebanyak RM20 juta bagi membeli uniform digital baharu anggota RELA menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak RM120 juta.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, peningkatan kadar elaun itu sebagai menghargai kesetiaan dan pengorbanan 3.06 juta anggota serta pegawai RELA di seluruh negara.

"Dalam perjumpaan pada tahun 2012, saya menaikkan kadar elaun daripada RM4 kepada RM6 dan oleh sebab itu, dalam perjumpaan yang amat luar biasa kali ini, saya menaikkan lagi kadar elaun sebanyak RM2 lagi.

"Inilah keikhlasan kerajaan menghargai jasa RELA dan kita sebagai kerajaan tidak sesekali memperlekeh RELA. Ada orang perlekeh RELA tetapi kita tidak sebab RELA begitu dekat di hati kerajaan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) Ke-46 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) di Serdang, hari ini.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa dan Ketua Pengarah RELA, Zulkifli Abidin.

Najib berkata, RELA mencerminkan gagasan 1Malaysia kerana kepelbagaian etnik dan kaum selain mempamerkan kesepaduan sosial yang dapat dilihat melalui keanggotaan RELA.

"Transformasi RELA sudah kita lakukan, peranan semakin diperkukuhkan bukan saja menjaga dalam majlis keraian teapi kini menjaga sempadan, di Zon Keselamatan Timur Sabah, penyeludupan manusia, banjir dan tidak kurang penting ancaman kumpulan pengganas serta ekstremis," katanya.

Sementara itu, Najib berkata, Malaysia tidak akan sesekali mengamalkan sikap apologetik kepada sesiapa termasuk negara barat.

"Kita negara yang berdaulat dan kita tidak mahu sesiapa mencampuri urusan negara kita. Namun, Malaysia akan terus mengamalkan sistem demokrasi yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

"Tetapi demokrasi bukan bermakna kita boleh buat sewenang-wenangnya. Kita lihat sehari dua ini ada perbuatan demikian melalui media sosial, tulisan tertentu, mereka ada agenda tertentu untuk kaut kekuasaan politik dan tidak memaparkan agenda nasional sebenar," katanya.

Terdahulu, Perdana Menteri memakaikan Pangkat Kehormat RELA kepada Ali sebagai dorongan untuk menarik lebih ramai penjawat awam menganggotai RELA.

Sambutan ulang tahun kali ini membabitkan 41,000 anggota dari seluruh negara yang disambut serentak di Universiti Malaysia Sabah, Sabah dan Stadium Persatuan Petrajaya, Sarawak.

Perdana Menteri dan timbalannya turut berinteraksi secara langsung bersama Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman dan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Abdul Rahman Zohari Abang Openg, sempena sambutan ulang tahun berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Mac 2018 @ 6:01 PM
ANTARA anggota RELA yang hadir ketika Majlis Sambutan Ulang Tahun RELA ke-46. FOTO Syarafiq Abd Samad
ANTARA anggota RELA yang hadir ketika Majlis Sambutan Ulang Tahun RELA ke-46. FOTO Syarafiq Abd Samad