Mohd Yussof menunjukkan buku <i>The Malayan Emergency Re-visited 1948-1960</i> yang sepatutnya dibaca oleh golongan muda. FOTO Danial Saad
Mohd Yussof menunjukkan buku <i>The Malayan Emergency Re-visited 1948-1960</i> yang sepatutnya dibaca oleh golongan muda. FOTO Danial Saad
Audrey Dermawan


PERSATUAN Melayu Pulau Pinang (PEMENANG) membantah cadangan sesetengah pihak yang mahu mengiktiraf perjuangan komunis ketika proses mencapai kemerdekaan.

Presiden PEMENANG, Tan Sri Mohd Yussof Latiff berkata, cadangan itu tidak seharusnya dibangkitkan kerana ia tidak memberi manfaat kepada negara mahu pun pejuang kemerdekaan.

Selain itu, katanya, dikhuatiri akan wujud gesaan untuk mengkaji semula sejarah negara, sekiranya cadangan mengiktiraf komunis dalam proses mencapai kemerdekaan diberikan.

“Saya tak mahu kategorikan mereka sebagai pembelot, tetapi lebih kepada orang tak mengenang jasa pejuang yang berkorban ketika mahu mencapai kemerdekaan.

“Mereka ini buta sejarah negara dan hanya bercakap berdasarkan emosi, bukannya fakta. Jangan kemuka cadangan yang boleh melukakan perasaan para pejuang negara,” katanya kepada NSTP hari ini.

Baru-baru ini, Imagined Malaysia menganjurkan forum ‘A People’s Histroy of Malayan Emergency’ bagi membincangkan peranan gerakan komunis dalam negara dan mahu perjuangan pengganas itu dimasukkan dalam sejarah Malaysia.

Mohd Yussof yang juga Presiden Pertubuhan Amanah Warisan Pulau Pinang (PEWARIS) berkata, pihak yang mengutarakan cadangan itu adalah golongan yang tidak pernah melalui pengalaman ketika era peperangan.

Beliau yang juga Tokoh Kemerdekaan 2011 berkata, pihak terbabit sebaliknya perlu melawat dan mengkaji semula sejarah negara, khususnya berkaitan kumpulan pengganas komunis.

“Rujuk semula Rundingan Damai Baling 1955 untuk mendapat gambaran mengenai usaha kerajaan berunding dengan komunis. Mereka juga boleh menonton filem Bukit Kepong yang menayangkan serangan dilakukan komunis.

“Mereka juga perlu baca buku The Malayan Emergency Re-visited 1948-1960, untuk melihat kesengsaraan rakyat ketika dijajah komunis. Kami semua terpaksa menjalani pelbagai kesengsaraan, ketika itu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Ogos 2018 @ 5:16 PM