DR Shaharuddin Badaruddin. FOTO Arkib NSTP
DR Shaharuddin Badaruddin. FOTO Arkib NSTP
Iskandar Shah Mohamed


“DOAKAN beliau segera sembuh,” kata Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Beliau sebelum itu mengesahkan keadaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Setia, Dr Shaharuddin Badaruddin yang dikatakan kurang sihat dan sedang berehat di rumahnya.

Mohamed Azmin berkata, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama Islam, Pendidikan dan Pembangunan Modal Insan Selangor itu perlu menjalani rawatan dan mengikut nasihat doktor.

“Ia bukan perkara mustahil kerana semua penyakit mempunyai ubatnya.

“Saya berharap kita terus mendoakan beliau supaya segera sihat. Beliau kini berada di rumah dan sedang berehat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program Santai BBQ bersama calon PRK DUN Sungai Kandis di Jalan Kebun, Shah Alam, malam semalam.

Turut hadir, Menteri Besar Selangor Amirudin Shari dan calon PKR Mohd Zawawi Ahmad Mughni.

Sementara itu, Amirudin berkata, beliau kurang pasti mengenai keadaan Shaharuddin yang dikatakan sedang kritikal berikutan tiada maklumat.

“Namun, ketika mesyuarat Exco terakhir baru-baru ini, beliau ada memaklumkan dirinya kurang sihat.

“Pejabat Exco akan memberi maklumat lanjut kepada saya nanti,” katanya.

Semalam, sebuah portal berita melaporkan Shaharuddin kini sedang tenat dan menderita sakit akibat kanser kolon.

Pada Pilihan Raya Ke-14 (PRU-14), Shaharuddin memenangi kerusi DUN Seri Setia selepas menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Yusoff M Haniff dengan memperoleh sebanyak 29,250 undi.

Beliau mengalahkan Yusoff yang memperoleh 9,878 undi selain calon Pas, Mohd Ghazali Daud (4,563) dan calon Bebas, S Vigneswaran (217).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Julai 2018 @ 12:54 AM