LAPORAN harian Metro, sebelum ini
LAPORAN harian Metro, sebelum ini
BERNAMA

KELUARGA Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Setia, Prof Dr Shaharuddin Badaruddin menafikan sekeras-kerasnya laporan media bahawa beliau sedang kritikal dan dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Setiausaha Kanan kepada Shaharuddin, Zafrullah Aris berkata, ADUN itu sedang berehat selepas menjalani rawatan dan mengikut nasihat doktor dan akan bercuti selama sebulan sebelum kembali semula bertugas.

Menurut Zafrullah, Shaharuddin yang juga EXCO Selangor dan Naib Presiden PKR sudah memaklumkan mengenai perkara itu kepada Menteri Besar Selangor Amirudin Shari.

Sehubungan itu, katanya, keluarga Shaharuddin berharap pihak media dan orang ramai dapat menghentikan spekulasi serta khabar angin berkenaan keadaan kesihatan ADUN itu.

“Selain itu, saya juga berharap semua pihak dapat menghormati permintaan keluarga beliau supaya dapat memberi ruang untuk beliau berehat.

“Sama-samalah kita berdoa supaya beliau dipermudahkan dalam segala urusan dan diberikan kesejahteraan untuk dapat bertugas semula,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Media semalam melaporkan Shaharuddin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama Islam, Pendidikan dan Pembangunan Modal Insan Selangor, dalam keadaan kritikal dan ditempatkan di ICU sebuah hospital di ibu kota.

Laporan itu turut menyatakan bahawa bekas timbalan naib canselor Universiti Selangor itu menghidap kanser usus tahap empat.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14, 9 Mei lalu, Shaharuddin memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri Seri Setia dengan majoriti 19,372 undi selepas menewaskan tiga pencabarnya daripada BN, PAS dan Bebas.

Beliau kemudian dilantik menjadi anggota Exco kerajaan negeri dan mengangkat sumpah jawatan pada 14 Mei lepas.

Berita berkaitan

Semoga kembali sembuh Dr Shaharuddin

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Julai 2018 @ 11:25 AM