Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man. FOTO Fathil Asri.
Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man. FOTO Fathil Asri.
Syanty Octavia Amry


PAS mungkin sekali lagi tidak bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK), kali ini membabitkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Balakong, 8 September ini.

Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, bagaimanapun parti itu belum membincangkan perkara itu secara rasmi, namun sudah mendapat gambaran asasnya.

“Kemungkinan besar PAS tidak bertanding di DUN Balakong dan kita belum berbincang secara rasmi.

“Parti tidak akan bertanding secara semberono dan parti berhak bertanding di mana saja. Mana yang kita rasa boleh turun, kita akan turun.

“Jika ada kepentingan tertentu, kita akan lihat balik,” katanya ketika ditemui di lobi Parlimen, hari ini.

Tuan Ibrahim berkata, PAS tidak terikat menyokong UMNO kerana tiada kerjasama rasmi wujud antara kedua-dua parti.

Kerusi DUN Balakong kosong selepas penyandangnya, Eddie Ng Tien Chee, meninggal dunia dalam nahas jalan raya di Kilometer 11.7 Lebuhraya Grand Saga pada 20 Julai lalu.

Mangsa terbunuh selepas kenderaan pacuan empat roda jenis Nissan X-Trail dipandunya merempuh belakang sebuah lori pencuci jalan.

Pada pilihan raya umum lalu, Ng mengekalkan kerusi DUN Balakong untuk penggal kedua selepas menewaskan calon Barisan Nasional (BN) dan PAS dengan majoriti 35,538 undi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Julai 2018 @ 10:12 PM