Mohd Rizal Abdullah

Miri: Ibu dan anak perempuannya melecur di tangan dalam kebakaran membabitkan tiga rumah di Jalan Friendship, Morsjaya, di sini, hari ini.

Mangsa masing-masing berusia 65 dan 40 tahun itu cedera manakala enam penghuni lain di dua rumah terbabit tidak mengalami kecederaan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Miri, Ali Bema Jelek, berkata kedua-dua mangsa dikejarkan ke Hoapital Miri untuk rawatan.

Menurutnya, bomba menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 1.15 petang.

"Sepasukan anggota bomba daripada Balai Bomba dan Penyelamat Miri dikerahkan ke lokasi dan mengawal kebakaran 20 minit kemudian.

“Bagaimanapun, tiga rumah itu sudah musnah sepenuhnya," katanya.

Sehingga ini, katanya, punca kebakaran masih dalam siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Februari 2016 @ 4:54 PM