MINARNI (kiri) bersama kakitangannya membersihkan bilik aktiviti kanak-kanak untuk membasmi kuman berikutan penyakit HFMD ketika tinjauan di Tadika dan Taska Sinar Nur Kasih, Anak Bukit. FOTO/SHARUL HAFIZ ZAM
MINARNI (kiri) bersama kakitangannya membersihkan bilik aktiviti kanak-kanak untuk membasmi kuman berikutan penyakit HFMD ketika tinjauan di Tadika dan Taska Sinar Nur Kasih, Anak Bukit. FOTO/SHARUL HAFIZ ZAM
Suzalina Halid

SEBUAH pusat asuhan kanak-kanak (TASKA) di Alor Setar, mengambil inisiatif menutup premis itu sehari, khusus bagi kerja pembersihan secara keseluruhan berikutan penularan wabak penyakit Kuku, Tangan dan Mulut (HFMD), sejak awal bulan ini.

Inisiatif itu dilakukan Taska Sinar Nur Kasih Isnin lalu, selepas mendapat kerjasama daripada ibu-bapa yang bersetuju pusat asuhan itu ditutup bagi membolehkan kerja mencuci semua peralatan yang disentuh bayi dan kanak-kanak termasuk permainan, tombol pintu, dinding dan katil dilakukan.

Pengusahanya, Minarni Mohd Hussin berkata, kerja pembersihan menggunakan cecair pembasmi kuman itu dilakukan bermula dari jam 9 pagi hingga 6 petang itu turut dibantu ibu bapa.

“Berikutan bimbang akan penularan wabak ini, saya mengambil langkah menutup sehari taska selepas merujuk kepada LPPKN (Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara) untuk membersihkan keseluruhan kawasan premis yang boleh disentuh kanak-kanak.

“Menariknya, usaha kami ini turut disokong ibu bapa apabila mereka turut mengambil cuti sehari untuk menjaga anak selain turut datang membantu kami membersihkan semua peralatan,” katanya ketika ditemui NSTP, hari ini.

KAKITANGAN Tadika dan Taska Sinar Nur Kasih membersihkan katil kanak-kanak untuk membasmi kuman berikutan penyakit HFMD  di Anak Bukit. FOTO/SHARUL HAFIZ ZAM
KAKITANGAN Tadika dan Taska Sinar Nur Kasih membersihkan katil kanak-kanak untuk membasmi kuman berikutan penyakit HFMD di Anak Bukit. FOTO/SHARUL HAFIZ ZAM

Pada masa sama, Minarni berkata, pihaknya turut mengeluarkan kos tambahan sendiri bagi membeli alat cucian selain cecair pembasmi kuman untuk diberikan kepada semua lapan kakitangan yang ditugaskan menjaga kanak-kanak dan bayi.

Katanya, selain itu beliau turut memantau dan memeriksa semua 40 bayi dan kanak-kanak yang ditempatkan di TASKA ini ketika dihantar ibu-bapa bagi memastikan mereka bebas dari jangkitan.

“Kalau ikutkan memang kita melakukan kerja pembersihan secara harian dan mingguan, namun kali ini kami lakukan secara besar-besaran dan terperinci kerana bimbang kuman penyebab wabak HFMD ini boleh ada di mana-mana.

“Selain itu, kami juga mengambil langkah pantas apabila tidak membenarkan ibu-bapa menghantar anak mereka ke TASKA ini apabila melihat ada tanda ruam yang dibimbangi HFMD,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Julai 2018 @ 12:02 PM