MOHD Zawawi ketika beramah mesra peserta di program Insan Selangor Briged Wanita Prihatin. FOTO Syarafiq Abd Samad
MOHD Zawawi ketika beramah mesra peserta di program Insan Selangor Briged Wanita Prihatin. FOTO Syarafiq Abd Samad
Tharanya Arumugam


SHAH ALAM: Calon PKR bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Kandis, Mohd Zawawi Ahmad Mughni, menjadikan amalan meminum madu kelulut sebagai tonik tenaga ketika kempen memasuki hari kedua.

Mohd Zawawi yang lebih dikenali sebagai Ustaz Zawawi berkata, amalan meminum madu kelulut itu antara persiapannya mengekalkan stamina untuk berdepan tempoh berkempen selama 14 hari.

"Untuk kekal aktif, cergas dan mengekalkan stamina, saya mengambil satu sudu teh madu kelulut setiap pagi dan sebelum tidur.

"Madu kelulut itu dicampur dengan bahan 'rahsia' yang saya tidak boleh dedahkan," katanya ketika ditanya mengenai persiapan sepanjang tempoh berkempen menjelang hari pengundian 4 Ogos ini.

Selain mengambil madu kelulut, Mohd Zawawi juga meluangkan masa selama 10 minit untuk bersenam setiap hari.

Katanya, pembabitan dalam badan bukan kerajaan (NGO) sebelum ini turut memudahkannya untuk bekerja dalam tempoh yang panjang.

"Saya dan isteri sudah lama terbabit dalam aktiviti NGO. Saya sendiri jarang berada di rumah kerana kebanyakan masa dihabiskan bersama rakyat namun masa untuk keluarga tetap ada," katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pengalamannya sebagai guru akan digunakan sebaik mungkin untuk menjadi seorang pemimpin yang baik.

“Saya sudah lama terbabit dalam bidang pendidikan malah pernah menghasilkan modul untuk memastikan generasi akan datang bukan saja mampu menghafal al-Quran tetapi turut memberi fokus terhadap pembangunan sahsiah diri.

“Saya akan mempraktikkan apa yang dipelajari daripada al-Quran terutama untuk menjadi pemimpin politik yang terbaik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Julai 2018 @ 7:13 PM