TENGKU Putera
TENGKU Putera
Baharom Bakar

Kuala Berang: Amalan meminum madu kelulut setiap hari menjadi ‘tonik’ pembekal tenaga tambahan buat calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan negeri (DUN) Kuala Berang, Datuk Tengku Putera Awang, 59.

Sejak mengamalkan pengambilan madu kelulut, Tengku Putera mampu bekerja dan berkempen dari rumah ke rumah selama 20 jam sehari.

Beliau berkata, amalan meminum madu kelulut bertujuan memulihkan tenaga selepas penat bekerja bukan saja diamalkan selepas penamaan calon Sabtu lalu, tetapi sejak memenangi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

“Bagaimanapun, sepanjang tempoh berkempen ini, amalan meminum madu kelulut asli yang dibekalkan pengusaha madu kelulut tempatan lebih kerap saya amalkan,” katanya selepas majlis ziarah kasih di Kampung Telaga, semalam.

Pada PRU13, Tengku Putera berjaya mempertahankan kerusi DUN Kuala Berang apabila menewaskan calon PAS, Muhyidin Abdul Rashid dengan majoriti 449 undi.

Kali ini, Tengku Putera dicalonkan untuk mempertahankan kerusi itu dan berdepan pertandingan tiga penjuru dengan calon PAS, Mamad Puteh dan bekas Ahli Parlimen BN Hulu Terengganu, Mohd Nor Othman yang bertanding atas tiket Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Tengku Putera antara calon BN paling lama iaitu sejak 1995 dan pernah dilantik sebagai Timbalan Menteri Kewangan selepas memenangi kerusi Parlimen Hulu Terengganu pada PRU lalu.

Beliau berkata, menunaikan solat Subuh di semua surau dan masjid di kawasan DUN Kuala Berang dan bertanya khabar secara bersemuka dengan pengundi menjadi rutin harian.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Mei 2018 @ 8:54 AM