PACUAN empat roda bersama 500 kilogram daun ketum yang dirampas oleh AKSEM Padang Besar, hari ini. FOTO Ihsan AKSEM
PACUAN empat roda bersama 500 kilogram daun ketum yang dirampas oleh AKSEM Padang Besar, hari ini. FOTO Ihsan AKSEM
Dziyaul Afnan Abdul Rahman


TINDAKAN mencurigakan lelaki memandu pacuan empat roda di laluan sempadan terbongkar selepas dia ditahan Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) Perlis, awal pagi hari ini.

Dalam kejadian jam 2 pagi, anggota AKSEM menemui kira-kira 500 kilogram (kg) daun ketum cuba diseludup ke negara jiran.

Jurucakap AKSEM Perlis berkata, suspek ditahan anggotanya selepas pikap terbabit cuba melalui kawasan sempadan yang dikawal ketat.

“Pihak AKSEM melakukan rondaan rutin di sebuah kampung berikutan mendapat aduan penduduk yang sering melihat kenderaan bernombor pendaftaran asing keluar masuk dari kawasan kampung berkenaan.

“Ketika melakukan rondaan, kita terserempak sebuah pikap dipandu suspek di kawasan yang dikategorikan sebagai 'panas' dan terdedah dengan aktiviti penyeludupan.

“Kami bertindak menahannya untuk pemeriksaan berikutan tindak-tanduknya begitu mencurigakan ketika terserempak dengan kami,” katanya ketika dihubungi.

Katanya, hasil pemeriksaan ke atas kenderaan terbabit menemui hampir setengah tan daun ketum yang disimpan dalam beberapa bungkusan plastik hitam di bahagian penumpang dan simpanan kenderaan itu.

“Pihak AKSEM menahan lelaki terbabit dan membawa pikap bersama daun ketum ke Kompleks AKSEM Padang Besar untuk siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 dan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Julai 2018 @ 2:33 PM